Salah satu tema besar kehidupan manusia ialah pertembungan antara kebenaran dan kesesatan serta antara kebaikan dan kejahatan. Penciptaan Nabi Adam AS selaku manusia pertama juga menekankan hakikat ini.
Sejak awal penciptaan, Adam diperingat oleh Allah SWT, pencipta dan pemilik seluruh alam, agar berwaspada daripada iblis yang mengajak manusia melakukan penderhakaan dan kejahatan.
Surah al-Baqarah ayat 34-36 menceritakan iblis enggan memuliakan Adam sebagaimana diarah Allah. Allah memberi nikmat tidak terhingga kepada Adam dan Hawa tetapi mereka dilarang mendekati satu pokok. Namun, syaitan menggelincirkan mereka berdua.
Dalam surah al-Hijr ayat 39 dan Sad: 82, iblis bersumpah kepada tuhan bahawa dia akan menyesatkan seluruh umat manusia. Tetapi, kedua-dua ayat dari surah yang berbeza itu diikuti pengecualian kepada golongan al-Mukhlasin.
Secara mudah, golongan ini disebut sebagai “hamba-hamba Tuhan yang dibersihkan daripada kederhakaan dan penyelewengan” sebagaimana terjemahan ‘Abdullah Basmeih.
Pembersihan itu kerana mereka ikhlas mentaati perintah tuhan, justeru ahli tafsir dari Indonesia, Quraish Shihab menyebut al-mukhlasin sebagai “hamba-hamba Allah yang beribadah dengan ikhlas.”
Melawan syaitan
Keikhlasan membawa keselamatan daripada kederhakaan dan penyelewengan. Inilah antara intisari utama ibadah puasa iaitu meneguhkan orang beriman dalam menentang syaitan dan menyubur keikhlasan pada diri mereka.
Intisari itu dijelaskan penuh tuntas oleh Imam al-Ghazali dalam adikarya beliau, Ihya’ Ulum al-Din. Al-Ghazali memetik firman Allah dalam surah Muhammad ayat 7:
“Wahai orang yang beriman, kalau kamu menolong Allah, nescaya Allah menolong kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”
Beliau berkomentar bahawa berdasarkan ayat itu, permulaan pertolongan itu adalah menerusi usaha keras daripada seseorang hamba manakala ganjarannya menerusi hidayah daripada Allah SWT.
Disebabkan itu, tambah al-Ghazali lagi, Allah SWT berfirman dalam surah al-’Ankabut, ayat 69:
“Orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami.”
Demikian juga dengan firman Allah juga dalam surah al-Ra’d, ayat 11:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
Al-Ghazali mengulas dengan berkata perubahan hanya berlaku dengan menangani hawa nafsu kerana itu tumpuan syaitan. Selagi hawa nafsu menyubur, syaitan tidak berhenti berulang-alik kepada seseorang.
Selagi syaitan berbuat demikian, keagungan Allah tidak tersingkap pada seseorang hamba dan dia terhijab daripada menemui Allah.
Bagaimana puasa menyubur keikhlasan? Puasa adalah ibadat yang dilakukan secara tersembunyi. Tiada siapa melihatnya kerana puasa bukanlah perbuatan seperti solat, umrah, haji dan amalan mulia lain yang boleh dilihat oleh manusia.
Apabila manusia mengerjakan puasa sedangkan dia boleh sahaja membatalkannya dengan memakan atau mengadakan hubungan intim tanpa secara tersembunyi, maka itu tanda keikhlasannya.
Apatah lagi jika orang berpuasa menjauhi segala maksiat lain yang secara zahirnya tidak membatalkan puasanya, tetapi membatalkan pahalanya. Maka, keikhlasan lebih mudah diraih.
Bagaimana pula puasa membantu melawan syaitan? Pertama, syaitan sendiri dibelenggu pada Ramadan yang menjadi bulan puasa itu sendiri sebagaimana disebut dalam satu hadis tentang kelebihan bulan Ramadan.
Ini bantuan yang disediakan oleh tuhan kepada manusia untuk melawan syaitan.
Kedua, ibadah puasa mendidik manusia untuk mengawal kemahuan diri sedangkan syaitan menyeru manusia agar mengikuti apa sahaja kemahuan dirinya.
Ibadat kesabaran
Puasa juga salah satu bentuk kesabaran. Sifat sabar pula yang amat ditekankan Islam adalah ciri penting dalam menyuburkan keikhlasan dan melawan kejahatan syaitan. Dengan bersabar, ganjaran puasa bukan sahaja diperoleh di akhirat, malah di dunia lagi menerusi peribadi baru seorang muslim setelah sabar menjalani ibadat berintisari kesabaran.
“Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”
Semasa menjelaskan tentang puasa dan kesabaran, al-Ghazali menjustifikasinya dengan petikan ayat al-Zumar: 10 itu. Maksudnya, orang yang berpuasa dikurniakan pahala yang melimpah ruah dan tidak terhingga.
“Hal ini layak sekali untuk berlaku sedemikian kerana puasa hanya dikerjakan kerana Allah dan menjadi mulia kerana dinisbahkan kepada-Nya meskipun hakikatnya seluruh ibadat adalah bagi Allah.
Hal ini sebagaimana kemuliaan Baitullah (rumah Allah) kerana dinisbahkan kepada-Nya meskipun hakikatnya seluruh bumi adalah milik-Nya.”
Demikian katanya, merujuk kepada satu hadis qudsi yang diriwayat Imam al-Bukhari, Allah berfirman:
“Setiap kebaikan akan dibalas dengan 10 sehingga 700 kali ganda kecuali puasa kerana puasa adalah untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan memberi ganjarannya.”
Demikian petua Imam al-Ghazali tentang bagaimana puasa menyubur keikhlasan dan membantu manusia melawan kejahatan syaitan.
*** Marwan Bukhari A Hamid adalah penulis dan penterjemah lulusan Universiti Yarmouk, Jordan dan Universiti Sains Islam Malaysia