KUALA LUMPUR, 27 FEB: Seorang pekerja kebun buah didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah mengugut akan mengancam nyawa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing melalui panggilan telefon, minggu lepas.
Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Chai Seng, 36, dan memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda terbabit.
Lim didakwa melakukan perbuatan itu terhadap menteri berkenaan melalui panggilan telefon di pejabat Ahli Parlimen, Jalan Parlimen, Sentul di sini pada 1.37 tengah hari, 18 Feb.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira Lim telah melakukan ancaman terhadap mangsa.
Bagaimanapun, peguam Caren Kaur yang mewakili Lim memohon anak guamnya dikenakan hukuman denda dengan alasan Lim bekerja di kebun bapanya dengan pendapatan RM1,200 sebulan.
“Anak guam saya telah insaf dan memohon maaf atas perbuatannya,” katanya.
- BERNAMA