SHAH ALAM, 26 FEB: Selangor memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi membangunkan Taman Aero Selangor.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata perjanjian yang bakal berlangsung Mac depan bertujuan membangun sektor aeroangkasa sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi.
"Kita telah mencapai persetujuan setelah beberapa siri perbincangan dilakukan bersama Khazanah dan MAHB. Mac nanti kita akan tandatangan MoU dan perjanjian ini akan lengkap yang mana program pecah tanah dilaksana pada Jun.
"Sasaran kita untuk menyertai Paris Air Show pada Jun di mana tempat semua pemain-pemain industri aeroangkasa bertapak," katanya pada sesi penggulungan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Sebelum ini, Amirudin berkata Kerajaan Negeri optimis program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) mampu menyediakan tenaga kerja berkemahiran dalam sektor penerbangan.
Menurutnya, Selangor bersedia menjadi pelopor penyedia tenaga kerja sektor berkenaan termasuk dalam bidang pengendalian pesawat dan kejuruteraan.
[caption id="attachment_539294" align="alignnone" width="896"] Pelawat dari Mycopter Aviation Services tidak melepaskan peluang berswafoto dengan kapal terbang ketika Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), Subang Jaya pada 8 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]
Dalam perkembangan lain, Amirudin memaklumkan satu kertas putih berhubung kecerdasan buatan (AI) akan dibentang bagi jaminan keselamatan dan keperibadian data.
"Saya jangka kertas putih ini dibentang dalam sidang mesyuarat kedua atau paling kurang sesi belanjawan nanti untuk diperhalusi dan dibahas ahli dewan.
"Google menawarkan khidmat untuk membentuk Sovereign Data Server supaya data dan maklumat Kerajaan Negeri akan dipunyai dan dihoskan di Selangor dengan server tempatan tanpa perlu menggunakan Cloud Serve oleh Google.
"Ini akan menjamin keselamatan data serta keperibadian pengguna dengan mengambil iktibar isu scam yang sedang menyebabkan keresahan dalam kalangan pengguna dalam talian," katanya.