AGENDA

Kerajaan kaji hukuman kepada pemilik kargo bawa lebih muatan, elak kemalangan maut

26 Feb 2025, 5:23 AM
Kerajaan kaji hukuman kepada pemilik kargo bawa lebih muatan, elak kemalangan maut

SHAH ALAM, 26 FEB: Hukuman terhadap pemilik pengangkutan yang membenarkan kargo mereka membawa muatan berlebihan sedang dikaji bagi mengelakkan belakunya kemalangan maut.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata berdasarkan Seksyen 57(3), Akta Pengangkutan Awam Darat, hukuman dikenakan kepada pengendali syarikat termasuk denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun selain hak kenderaan dilucut.

"Memang ada beberapa kes dibawa ke mahkamah untuk memberikan mesej kuat kepada pengendali supaya tidak membawa muatan berlebihan.

"Kita sedang melihat dasar, bukan saja pemandu dan pemilik syarikat pengangkutan dikenakan tindakan, malah pemilik kargo juga bertanggungjawab dan perlu menghadapi hukuman jika membenarkan kargo mereka dibawa dengan muatan berlebihan," katanya di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Jempol Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) berhubung hukuman terhadp pengendali syarikat pengangkutan yang membawa muatan berlebihan.

Mengulas lanjut, Loke berkata sebanyak 247 lesen pengendali digantung tahun lalu akibat gagal audit pematuhan Kod Amalan Industri untuk Keselamatan Pengangkutan yang menyebabkan kemalangan atau terbabit dalam ketidakpatuhan berkaitan.

Menurutnya, jumlah itu meningkat, berbanding 101 pada 2023 dan 94 pada 2022, manakala hanya lapan lesen pengendali digantung antara 2019 dan 2021.

Beliau menjelaskan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga menggantung 23 permit kenderaan pada 2024 atas ketidakpatuhan keselamatan jalan raya, selain membatalkan tujuh lesen pengendali antara 2022 dan 2024.