ad
BERITA UTAMA

Umum dasar kontroversi, Trump 2.0 simbol keangkuhan baharu Amerika?

26 Feb 2025, 2:32 AM
Umum dasar kontroversi, Trump 2.0 simbol keangkuhan baharu Amerika?
Umum dasar kontroversi, Trump 2.0 simbol keangkuhan baharu Amerika?
Umum dasar kontroversi, Trump 2.0 simbol keangkuhan baharu Amerika?

SHAH ALAM, 26 FEB: Kebetulan pada tahun 2015, semasa Donald Trump membuat pengumuman bertanding pilihan raya Presiden Amerika Syarikat buat pertama kali, saya banyak berada di negara itu.

Beliau sebelum itu hanya dikenali sebagai orang kaya dan semakin popular dengan rancangan realiti TV The Apprentice.

Di sini, beliau mempunyai kelebihan tersendiri. Pertama, pengundi di Amerika Syarikat percaya beliau seorang yang sedia kaya justeru mencari kekayaan bukanlah motivasi utamanya untuk menjadi presiden.

Kedua, sebagaimana selalu kedengaran di mana-mana, pengundi ‘semakin tidak percaya’ kepada orang politik. Maka, Trump yang dilihat tidak mempunyai pengalaman politik dilihat sebagai susuk yang tidak banyak berpolitik tetapi akan cuba menyelesaikan masalah mereka.

Walaupun begitu, kita tahu pada masa itu Trump diberi sokongan hebat oleh Republikan. Lawan mereka pada masa itu ialah calon Demokrat, Hillary Clinton. Hillary adalah satu nama yang cukup dikenali dan presiden sebelumnya pula ialah Barack Obama dari parti yang sama dan turut berkempen untuknya.

[caption id="attachment_689015" align="aligncenter" width="728"] Seorang pengundi memasukkan kertas undinya di pusat pengundian pada Pilihan Raya di Falls Church, Virginia, Amerika Syarikat pada 7 November 2023. REUTERS[/caption]

Cabaran Hillary pada masa itu ialah gender, kerana Amerika Syarikat belum pernah mempunyai seorang presiden wanita sedangkan mereka telah pun memilih Obama sebagai presiden pertama berkulit hitam.

Ramai menjangka Trump mudah dikalahkan dalam pilihan raya tersebut. Namun, kita semua tahu keputusannya. Trump menang meskipun kekurangan sekitar satu juta undi jika dibandingkan dengan Hillary.

Di sinilah dinamik badan perwakilan pemilih (electoral college) yang diamalkan dalam sistem demokrasi di Amerika Syarikat berbeza dengan negara lain misalnya perwakilan berkadar (representative) di Jerman atau pemenang undi terbanyak (first past the post) di Malaysia.

Yang lebih penting untuk kita ingat ialah kempen Trump yang bersifat provokatif. Paling tidak mudah dilupa ialah keinginan beliau untuk membina dinding besar di sepanjang sempadan negara Amerika Syarikat dan Mexico sebagai satu bentuk serangan terhadap imigran dari negara jiran.

Sekali dengar atau baca, ia tidak masuk akal. Namun, jangan terkejut kerana ia disambut oleh ramai penyokongnya. Ya, di negara Amerika Syarikat yang sering dianggap terbuka dan bebas.

Ia sebahagian tema besar kempennya untuk mengembalikan kehebatan Amerika Syarikat – Make America Great Again (MAGA) – yang antaranya ditandai oleh janji mewujudkan lebih banyak pekerjaan yang kononnya dirampas oleh warga asing, menguatkan kawalan sempadan dan imigresen untuk kedaulatan negara di samping menjadikan China sebagai ancaman utama.

Populisme

Banyak sebab boleh disenaraikan untuk menjelaskan kemenangan Trump atau kekalahan Hillary. Namun, kita boleh simpulkan bahawa Trump berjaya mencorakkan satu bentuk kempen nasionalisme tersendiri untuk menang. Kemenangan beliau juga boleh dilihat sebagai kemuncak populisme yang mula menguasai dunia pada masa itu.

Tetapi Trump kalah dalam pilihan raya berikutnya kepada Joe Biden dalam pilihan raya presiden pada tahun 2020. Ya, satu pilihan raya yang dijalankan ketika krisis pandemik Covid-19 menguasai dunia. Sekali lagi, tentu banyak sebab kemenangan Joe Biden dan kekalahan Trump pada masa itu boleh disenaraikan.

Namun, Trump kini kembali menjadi Presiden Amerika Syarikat buat kali kedua setelah menang mengatasi Kamala Harris, seorang lagi calon wanita yang berani diangkat oleh Demokrat setelah Joe Biden menarik diri daripada mempertahankan kemenangannya.

Terlepas faktor kelemahan strategi Demokrat, kejayaan Trump buat kali kedua ini ternyata lebih menggusarkan.

[caption id="attachment_683221" align="aligncenter" width="788"] Presiden Donald J.Trump Trump mengangkat sumpah untuk penggal kedua sebagai Presiden Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-47 pada 20 Januari 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim[/caption]

Ternampak seolah-olah Amerika Syarikat sendiri ketandusan pemimpin dan terheret jauh ke dasar politik populisme.

Sebagai tambahan perisa, Trump kini disokong kuat oleh Elon Musk, pemilik X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) sejak 2022, sebuah laman media sosial yang pernah menutup akaun media sosial Trump kerana menolak corak dan mesej kempen beliau.

Sokongan Musk kepada Trump bukanlah baru. Ia bermula sejak kali pertama Trump bertanding dan menang. Namun, ada pergeseran tertentu antara mereka dalam soal dasar ketika itu. Kita tidak tahu sejauh mana sokongan semasa berterusan.

Sejak Januari lalu, Trump telah membuat beberapa pengumuman dasar yang sebahagiannya menimbulkan kegusaran baru.

Ini ditandai misalnya dengan pengumuman tarif import dari Kanada dan Mexico yang kemudian ditangguhkan, hasrat Amerika Syarikat untuk campur tangan lebih lanjut dalam isu perang di Ukraine dan Palestin serta yang terkini penutupan unit elit antirasuah di Jabatan Kehakiman yang pernah menyiasat isu 1MDB.

Trump 2.0 hanya baru bermula. Adakah ia akan menjadi permulaan era keangkuhan baru Amerika Syarikat? Tempoh empat tahun tidaklah terlalu lama untuk kita sama-sama nantikan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.