Oleh Danial Dzulkifly
SHAH ALAM, 26 FEB: Penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 memperkukuh kedudukan negeri sebagai hab ekonomi Malaysia dan pintu gerbang Asean.
EXCO pelaburan berkata SIBS yang dijadualkan 8 hingga 11 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menyasarkan nilai transaksi RM10 bilion selain dijangka menarik 50,000 pelawat.
Jelas Ng Sze Han, sidang tahunan yang dianjur sejak 2015 memperkenalkan dua acara baharu iaitu Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor dan Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS), yang sebelum ini dikenali Pameran Udara Selangor.
“SAS 2025 adalah acara yang dijenamakan semula, dahulunya dikenali Pameran Udara Selangor. Tahun ini, SAS menampilkan format ekspo serta persidangan dalaman yang menumpukan sektor aeroangkasa termasuk penerbangan komersial, awam dan perniagaan.
“Malah SIBS 2025 yang dijadikan acara rasmi Sidang Kemuncak Asean akan mempertemukan pemimpin perniagaan, pembuat dasar dan pakar industri untuk meneroka potensi besar pasaran tempatan serta antarabangsa.
"Ia seiring dengan usaha Selangor untuk menjadi pemain utama sektor aeroangkasa dan semikonduktor,” katanya pada sidang media semalam. Hadir sama EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris.
Sementara itu, Anfaal berkata Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa akan menghimpunkan pemegang taruh, penyelidik dan ahli akademik untuk membincangkan hala tuju ekonomi penjagaan.
“Sidang kemuncak ini susulan pelancaran Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor pada November tahun lalu. Dari situ, kami membangunkan idea untuk mengumpulkan penjaga, pemain industri dan ahli akademik di bawah satu platform,” katanya.
Selain dua acara baharu, SIBS turut menganjurkan Ekspo Makanan dan Minuman Antarabangsa Selangor, Ekspo Taman Pelaburan dan Perindustrian Selangor, Persidangan Perniagaan Selangor Asean dan Konvensyen Ekonomi Digital dan Bandar Pintar Selangor.
SIBS 2024 yang julung kali diadakan dua siri (Julai dan Oktober) merekodkan nilai transaksi berjumlah RM13.86 bilion. Pencapaian membanggakan itu melebihi sekali ganda dari 2023 yang memperoleh RM6.12 bilion.
[caption id="attachment_688915" align="aligncenter" width="700"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz melawat reruai selepas merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 25 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_688914" align="aligncenter" width="700"] Pengunjung hadir melihat ke pelbagai reruai yang mempromosi pelbagai produk ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 17 OKtober 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]