SHAH ALAM, 25 FEB: Selangor giat meneroka teknologi hijau dalam pembangunan industri tenaga bagi menghasilkan gas sekali gus memastikan kelestarian alam sekitar.
Dato’ Menteri Besar berkata antara usaha dilakukan termasuklah pembinaan loji jana kuasa di Pulau Indah, loji sisa kepada tenaga (WTE) di Jeram dan stesen mini hidroelektrik di Batang Kali.
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, Kerajaan Negeri menerusi Worldwide Holdings Bhd turut berjaya membida projek solar panel terapung berskala besar 300 megawatt di negara ini.
[caption id="attachment_687793" align="aligncenter" width="790"]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada sesi soal jawab mesyuarat pertama (pembukaan) persidangan penggal ketiga Dewan Negeri Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor pada 19 Februari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Loji jana kuasa di Pulau Indah dimiliki Worldwide dengan pengeluaran tenaganya 1,200 megawatt akan menghasilkan gas. Sekarang dalam proses percubaan dan akan berjalan tengah tahun ini atau selewatnya pada Ogos.
“Beberapa kawasan lain juga beralih malah kita juga laksanakan program guna sumber air untuk hasilkan tenaga seperti dua projek hidro di Batang Kali, Kerling. Pertama dah siapa dan kedua akan siap tak lama lagi,” katanya di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
[caption id="attachment_683448" align="aligncenter" width="796"]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melakukan gimik perasmian Loji Hidrokuasa Kecil Batang Kali pada 23 Januari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Menjawab soalan tambahan wakil rakyat Ijok Jefri Mejan berhubung teknologi hijau, Amirudin berkata usaha berkenaan akan terus diperkasa termasuk memberi sokongan kepada anak syarikat yang melaksana projek berkaitan.
Sebelum ini Amirudin berkata industri tenaga giat dibangunkan bagi menangani perubahan iklim yang mengancam global, termasuk mengarah agensi negeri membuat perancangan inovasi berkaitan.
Jelas wakil rakyat Sungai Tua, Kerajaan Negeri turut aktif meneroka industri berkenaan sebagai usaha memacu ekonomi, seiring usaha mampan melestarikan alam sekitar.


