PETALING JAYA, 25 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mempertingkat penguatkuasaan terhadap peniaga warga asing yang melanggar peraturan dan syarat ditetapkan.
Datuk bandar Petaling Jaya berkata tindakan itu sebahagian daripada usaha mengekalkan kebersihan daerah itu sekali gus membantu warga tempatan mengembangkan perniagaan.
Selain operasi bersepadu sejak setahun lalu, Mohamad Zahri Samingon menjelaskan pihaknya mempergiat kerjasama dengan Jabatan Imigresen mengesan premis dibuka warga asing.
“MBPJ laksana operasi setiap minggu dengan titik berat aspek keselamatan, kebersihan dan pematuhan undang-undang ditetapkan.
“Kita tidak akan kompromi jika peniaga warga asing ini melanggar undang-undang. Tindakan penguatkuasaan diharap dapat beri peluang kepada warga tempatan khususnya anak muda mengembangkan perniagaan,” katanya.
[caption id="attachment_688768" align="alignnone" width="818"]
Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon bersama wakil media yang menerima penghargaan ketika majlis Anugerah Media Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di M Resort dan Hotel, Kuala Lumpur pada 24 Februari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Ditemui pada Anugerah Media MBPJ 2025 malam tadi, beliau memaklumkan pihaknya giat menaik taraf infrastruktur di kawasan pentadbiran demi keselesaan pembayar cukai.
“Semua sedia maklum bahawa kadar cukai taksiran tahun ini melalui proses penilaian baharu, oleh itu MBPJ fokus kepada kemudahan awam seperti pembersihan longkang, sampah dan kebersihan.
“Ini semua bagi memastikan dapat sediakan prasarana selesa kepada penduduk selain memastikan keberkesanan perancangan bandar,” katanya.
Sebelum ini, Selangor mengumumkan penilaian semula cukai taksiran dengan kadar kenaikan 25 peratus membabitkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula 1 Januari lalu manakala bakinya ditampung Kerajaan Negeri.
Hasil cukai taksiran pula dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk perkhidmatan bagi memastikan kawasan kediaman kekal selesa, bersih dan selamat untuk didiami.


