SHAH ALAM, 24 FEB: Denda sehingga RM100,000 dan penjara lima tahun menanti pesalah sampah haram selepas Selangor melaksana Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata pelaksanaan akta tersebut masih di peringkat rundingan bersama Persekutuan bagi memastikan pengurusan sampah lebih baik pada masa depan.
“Kalau kita berjaya meratifikasi Akta 672, kita akan gunakan undang-undang yang ada dalam akta tersebut untuk melaksana penguatkuasaan dan hukuman sehingga RM100,000 dan penjara tidak kurang lima tahun.
“Itu (aktiviti pelupusan sampah haram) akan kita dapat tangani untuk penguatkuasaan dalam pemakaian Akta 672 tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan bagi Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Pada November lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dilapor berkata Kerajaan Negeri akan memuktamad keputusan mengguna pakai Akta 672 selewat-lewatnya pada awal 2025.
Menurut Amirudin, penggunaan akta berkenaan dijangka mengurangkan kos pengurusan sisa pepejal yang kini ditanggung oleh Kerajaan Negeri menerusi KDEB Waste Management (KDEBWM).
Pada Mei tahun lalu, Kerajaan Negeri bersetuju menerima pakai Akta 672, sekali gus menjadi negeri kelapan selepas Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Akta itu memastikan keseragaman undang-undang dalam pengawalseliaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap selain merancakkan ekonomi kitaran.