KUALA LUMPUR, 24 FEB: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan, fenomena cuaca panas dan kering yang melanda negara tahun ini tidak seteruk tahun lalu.
Ketua Pengarah METMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata keadaan itu disebabkan pengaruh La Nina lemah yang sedang berlaku sekarang dijangka berterusan sehingga pertengahan tahun ini.
Berhubung jerebu dan titik panas pula, beliau berkata, biasanya ia berlaku di antara Julai hingga September iaitu ketika kemuncak Monsun Barat Daya (MBD).
"Masih terlalu awal untuk meramal potensi (kejadian jerebu dan titik panas) dan ia bergantung kepada kekuatan MBD yang akan berlaku nanti serta keadaan cuaca di negara jiran," katanya lapor Berita Harian.
Mengulas situasi di negara jiran seperti laporan pencemaran udara akibat kebakaran hutan yang mungkin mendorong situasi jerebu rentas sempadan yang sederhana atau kronik, Mohd Hisham berkata, sekiranya berlaku kebakaran secara meluas di negara jiran ketika MBD, asap berkenaan akan bergerak memasuki rantau negara seterusnya boleh menyebabkan cuaca berjerebu.
"Di samping itu, kebakaran setempat juga akan menyebabkan keadaan jerebu bertambah buruk," katanya.
Mengenai jangkaan peralihan cuaca selepas berakhirnya Monsun Timur Laut (MTL) bulan depan, Mohd Hisham berkata, fasa peralihan itu dijangka bermula pertengahan Mac ini.
Bagi ramalan cuaca sepanjang Ramadan pula, katanya cuaca di seluruh negara dijangka baik pada sebelah pagi, manakala ribut petir serta hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku pada sebelah petang dan awal malam terutama di kawasan barat dan pedalaman Semenanjung, selatan, barat dan tengah Sarawak serta barat Sabah.
"Kawasan utara Semenanjung termasuk Perak, Pahang dan Kelantan dijangka mengalami cuaca yang sedikit lebih panas dan kering berbanding tempat lain," katanya.


