ad
AGENDA

Kes cabul di masjid: Semua pihak digesa pastikan persekitaran selamat (VIDEO)

23 Feb 2025, 1:00 AM
Kes cabul di masjid: Semua pihak digesa pastikan persekitaran selamat (VIDEO)
Kes cabul di masjid: Semua pihak digesa pastikan persekitaran selamat (VIDEO)

SHAH ALAM, 23 FEB: Semua pihak digesa menyediakan persekitaran yang selamat khususnya kepada wanita dan kanak-kanak susulan insiden cabul dalam masjid di Batang Kali, kelmarin.

Prihatin dengan nasib kanak-kanak berkenaan, EXCO kebajikan turut meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat memberi khidmat kaunseling percuma kepada mangsa untuk menangani trauma.

"Semoga mangsa berada dalam keadaan yang sihat dan sejahtera daripada segenap aspek sama ada fizikal, mental, emosi mahupun spiritual. Semoga masjid serta seluruh Selangor menjadi tempat yang selamat untuk semua.

"Saya kesal dengan kenyataan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa wanita sepatutnya hanya solat di rumah. ⁠Sebaliknya, kita perlu menyediakan persekitaran yang selamat untuk wanita dan kanak-kanak, bukan menghalang terus mereka daripada keluar rumah," kata Anfaal Saari dalam kenyataan.

Pada 21 Februari, tular di media sosial satu insiden cubaan merogol kanak-kanak perempuan dalam ruang solat jemaah wanita di Masjid Jamek Sungai Masin, Batang Kali sekitar waktu Subuh.

Susulan itu, lelaki warga tempatan berusia 19 tahun yang disyaki mencabul mangsa ditahan pada hari sama dan kini direman tujuh hari sehingga 28 Februari.

Suspek yang disahkan memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran direman mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

[caption id="attachment_688267" align="aligncenter" width="788"] Lelaki disyaki mencabul kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali, Hulu Selangor direman tujuh hari dari 22 sehingga 28 Februari 2025. Foto UFAIRAH TARMIDZI/MEDIA SELANGOR[/caption]

Anfaal menegaskan kad OKU tidak mengecualikan pelaku daripada dikenakan tindakan bahkan percaya polis melakukan siasatan yang terbaik untuk memastikan keadilan tertegak.

"Kita harus melakukan lebih banyak untuk menjaga OKU khasnya yang tidak waras, supaya mereka tidak melakukan apa-apa yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain atas ketidak-warasan mereka.

"⁠Insya-Allah, dengan tertubuhnya Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) yang dijadualkan pada tahun ini, Kerajaan Negeri berhasrat untuk melebarkan lagi inisiatif OKU, agar mencakupi juga OKU dewasa dan memberi manfaat kepada pelbagai lagi kategori OKU," katanya.

[embed]https://www.tiktok.com/@anfaalsaari/video/7474220130172669191?lang=en&q=anfaal%20saari&t=1740240712727[/embed]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.