PBT

Platform Enjoy Kajang kongsi destinasi menarik, semarak Tahun Melawat Selangor

22 Feb 2025, 2:15 PM
Platform Enjoy Kajang kongsi destinasi menarik, semarak Tahun Melawat Selangor

SHAH ALAM, 22 FEB: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) melancarkan platform promosi pelancongan, Enjoy Kajang bagi menyemarak Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).

Yang Dipertuanya Nazli Md Taib berkata platform media sosial berkenaan akan mempromosi kawasan tarikan pelancongan sekitar Kajang bagi menarik kehadiran pelawat ke bandar itu.

Menurutnya, platform itu akan menonjolkan keindahan alam semula jadi (eko pelancongan) seperti Gombak-Hulu Langat Geopark, makanan atau gastronomi, taman tema, seni budaya dan warisan sekitar Kajang.

“Platform Enjoy Kajang ini akan dilaksanakan sepanjang tahun dan akan dilanjutkan tahun depan bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Sebelum ini, Nazli memaklumkan, menerusi platform media sosial seperti Facebook dan Instagram, Enjoy Kajang membantu mempromosi kawasan tarikan termasuk ekopelancongan, rekreasi serta makanan.

Tambah Nazli, MPKj merancang melaksanakan Karnival 1001 Rasa Sate Kajang tahun ini, selaras Kajang yang sinonim dengan jolokan bandar sate terunggul.

“Dengan keunikan sate Kajang yang mempunyai sejarah dan rasa tersendiri, menjadikannya faktor utama makanan itu diangkat sebagai makanan warisan Selangor.

“Setakat ini, MPKj masih memegang rekod Malaysia Book of Records (MBOR), bagi acara pembakaran sate secara serentak paling panjang iaitu sepanjang 1,200 meter atau 1.2 kilometer yang dilaksanakan pada 2015,” katanya.

Selain itu, katanya MPKj turut menjalin kerjasama dengan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) bagi menghasilkan naskhah berkaitan sejarah Kajang dan sate Kajang.

“Pelbagai program berteraskan pelancongan turut dirangka tahun ini dan MPKj akan terus memberi kerjasama utuh kepada Kerajaan Negeri, Tourism Selangor dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Selangor dalam usaha meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini,” katanya.

Menyasar kehadiran lapan juta pelawat, Kerajaan Negeri berpotensi mencatat transaksi RM11.7 bilion bagi TMS2025.

Dalam Belanjawan 2025, sebanyak RM8 juta disalur bagi membuat persediaan rapi meliputi penyusunan pelbagai aktiviti, selain naik taraf kemudahan pelancongan demi merancak kehadiran pelawat ke sembilan daerah.

Lebih 100 program dan inisiatif direncana sempena TMS2025 meliputi semua daerah babitkan sektor pelancongan ilmu, sukan, makanan dan minuman serta seni budaya dan warisan negeri.