ad
BERITA UTAMA

Memahami perbezaan pandangan ulama dalam kemaksuman rasul

21 Feb 2025, 9:00 AM
Memahami perbezaan pandangan ulama dalam kemaksuman rasul
Memahami perbezaan pandangan ulama dalam kemaksuman rasul

Seruan Nabi Muhammad SAW berteras tauhid kepada Allah dan penolakan terhadap syirik agar kehidupan manusia berlandas ibadah kepada Allah semata-mata. Itulah juga seruan para rasul dalam arus kenabian yang menerangi kehidupan insan.

Seruan ini bertujuan mendidik manusia supaya patuh segala perintah dan larangan Allah serta membentuk peribadi mukmin yang teguh, berpegang kepada petunjuk-Nya. Dalam ayat ke-21 surah al-Ahzab menyebut:

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat teladan yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat serta banyak mengingati Allah.”

Jelas daripada nas dan peristiwa dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW bahawa keperibadian Baginda mempunyai dua aspek. Pertama, aspek diri Baginda sebagai manusia iaitu Baginda mengalami perkara yang biasa dialami manusia lain.

Kedua, aspek yang membezakan Baginda daripada manusia umum iaitu hubungan istimewa dengan Tuhannya yang Maha Agung sebagai seorang rasul yang diamanah untuk menyampaikan risalah Allah kepada umat manusia.

Dari aspek Baginda sebagai manusia, hal ini ada disebut dalam ayat ke-110 surah al-Kahf iaitu:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, (tetapi) diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Esa. Maka sesiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesuatu pun dalam ibadah kepada Tuhannya.”

Dalam hadis pula, terdapat pesanan Nabi Muhammad SAW agar umatnya tidak berlebih-lebihan dalam memuliakan Baginda. Diriwayat al-Bukhari daripada Umar ibn al-Khattab bahawa nabi bersabda:

“Janganlah kamu berlebih-lebihan dalam memujiku sebagaimana kaum Nasrani memuji Isa ibn Maryam. Sesungguhnya aku hanyalah seorang hamba, maka katakanlah: Hamba Allah dan Rasul-Nya.”

Baginda juga tidak melupakan peringatan ini ketika menghadapi sakaratul maut. Diriwayat Muslim bahawa Jundub ibn Abdullah berkata:

“Aku mendengar Rasulullah bersabda lima hari sebelum Baginda wafat: Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu menjadikan kubur para nabi dan orang-orang soleh mereka sebagai tempat ibadah. Ketahuilah, janganlah kamu jadikan kubur sebagai tempat ibadah, kerana aku melarang kamu daripada melakukan hal itu.”

Dalam riwayat al-Bukhari, Aisyah dan Ibn Abbas berkata: “Ketika Rasulullah sedang menghadapi sakaratul maut, Baginda meletakkan kain di wajahnya. Apabila terasa sesak, Baginda menyingkapnya kembali lalu bersabda:

“Laknat Allah ke atas orang Yahudi dan Nasrani yang menjadikan kubur nabi mereka sebagai tempat ibadah.”

[caption id="attachment_647463" align="alignnone" width="896"] Pemandangan pada waktu malam Masjidil Haram pada musim haji 1445H/2024 dirakam dari Menara Jam Diraja Makkah atau nama popular "Menara Abraj Al-Bait" pada 11 Jun 2024. Foto BERNAMA[/caption]

Pesan nabi

Baginda memperingat umatnya agar tidak mengikuti perbuatan mereka. Dalam pada nabi berpesan agar menyedari Baginda manusia biasa tetapi tidak boleh dinafikan kemaksuman tetap ada pada diri Baginda.

Para ulama sepakat para nabi maksum dalam apa yang mereka sampaikan daripada Allah ketika menyampaikan risalah-Nya. Justeru, apa yang disampaikan itu tidak terjebak dari sebarang kesalahan. Namun, berkenaan kemaksuman para nabi dalam perkara tidak berkaitan penyampaian wahyu, para ulama berbeza pendapat.

Pertama, sebahagian ulama berpendapat para nabi maksum dari sebarang dosa kerana mencontohi mereka sesuatu yang disyariat. Mereka berhujah dosa bercanggah dengan kesempurnaan para nabi. Kedua, jumhur ulama berpendapat para nabi boleh melakukan kesilapan tetapi mereka maksum daripada dosa.

Berdasarkan pendapat jumhur itu, para ulama membincangkan apakah nabi turut sama berijtihad atau tidak. Hal ini kerana apabila disebut ijtihad, ia terjebak kepada kemungkinan kesilapan.

Pendapat pertama menyatakan Baginda tidak berijtihad kerana hukum boleh diketahui melalui wahyu. Pendapat kedua iaitu jumhur ulama; mereka berpendapat Baginda boleh berijtihad dan dalam ijtihadnya, Baginda boleh tersilap atau benar. Namun, jika Baginda tersilap, kesilapan itu tidak dibiar tanpa pembetulan.

Pendapat kedua diperkuat pelbagai nas dalam pelbagai bentuk. Pertama, al-Barra’ bin ‘Azib berkata nabi menghadap ke arah Baitulmaqdis dalam solatnya selama enam belas atau tujuh belas bulan. Baginda ingin agar kiblatnya dialih ke arah Kaabah. Lalu, Allah menurunkan ayat ke-144 surah al-Baqarah iaitu:

“Sesungguhnya Kami melihat wajahmu sering menengadah ke langit, maka Kami akan palingkan engkau ke kiblat yang engkau redai.” Maka, Baginda pun berpaling ke arah Kaabah.

Dari hadis ini, kelihatan Rasulullah SAW berijtihad - berpendapat Kaabah lebih berhak dijadikan kiblat. Dengan itu, ijtihad Baginda menjadi ketetapan syarak yang diakui oleh Tuhannya.

Kedua, sebahagian golongan munafik meminta izin nabi untuk tidak turut serta dalam Perang Tabuk. Baginda memberi keizinan kepada mereka tanpa terlebih dahulu menyelidiki alasan mereka. Lalu, Allah menegur Baginda atas keizinan tersebut dalam ayat ke-43 surah al-Taubah:

“Semoga Allah memaafkanmu! Mengapa engkau memberi izin kepada mereka sebelum jelas bagimu siapa yang benar dan sebelum engkau mengetahui siapa yang berdusta?”

Ayat al-Quran ini menggunakan istilah ‘afā (maaf) yang merujuk kepada pengampunan terhadap kesalahan dan kelalaian serta tidak mengenakan hukuman. Dalam konteks ini, ia merujuk kepada tindakan Baginda yang memberi keizinan kepada golongan munafik. Keizinan yang ditegur ini hasil ijtihad Baginda dalam perkara yang tidak ada ketetapan wahyu secara langsung. Ini menunjukkan ijtihad dibolehkan bagi para nabi dan mereka tidak maksum daripada melakukan kesilapan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.