SHAH ALAM, 20 FEB: Karya agung Imam al-Ghazali mengingatkan umat Islam supaya sentiasa menggunakan akal yang dikurniakan untuk jalan kebaikan, kata tokoh ulama Pattani.
Mengupas kitab Ihya Ulumuddin dan Mawaqif al-Marjan sempena program Talaqqi Kitab Turath Islami, Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni berkata akal adalah keistimewaan dikurniakan Allah kepada manusia untuk membezakan mereka daripada makhluk lain.
“Manusia diberi kelebihan berbanding makhluk lain dengan akal untuk berfikir dan mendalami ilmu untuk memahami kebenaran.
“Sesungguhnya diibaratkan dalam kitab ini, manusia yang ada akal tapi tidak berfikir (ke arah jalan kebaikan) itu seperti segala binatang ternakan, malah lebih sesat lagi kerana binantang itu Allah menjadikan tidak ada akal sejak awal lagi,” katanya pada program di masjid negeri, hari ini.
[caption id="attachment_687986" align="alignnone" width="853"] Tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni menyampaikan kuliah dhuha Siri Talaqi Kitab Ihya' Ulumuddin dan Mawaqif al-Marjan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Februari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Menurut Baba Ismail lagi, manusia juga diseru perlu menggunakan ilmu dimiliki dengan bijak, mengamalkannya dalam kehidupan seharian dan menyebarkannya untuk kebaikan bersama.
“Ilmu itu harus diamalkan, bukan sekadar diketahui. Orang munafik di zaman Rasullah tahu kebenaran tapi tetap menolaknya. Ilmu yang tidak diletakkan pada tempatnya adalah kezaliman,” katanya.
[caption id="attachment_687987" align="alignleft" width="344"] Wan Norsiha Wan Abdul Kadir[/caption]
Sementara itu, pesara Wan Norsiha Wan Abdul Kadir, 62, berkata program dipimpin tokoh ulama Pattani itu wajar diteruskan kerana cara penyampaian yang mudah difahami.
“Ini salah satu tokoh ulama terbaik dengan cara penyampaian yang mudah faham. Malah saya pernah ikuti lawatan ke masjid di Pattani, ikuti kuliah Baba Ismail di sana. Kita di sini beruntung majlis ilmu di tempat selesa seperti Masjid Negeri, sudah pasti wajar diteruskan,” katanya.
[caption id="attachment_687988" align="alignright" width="345"] Muhammad Najib Muhd Hairuddin[/caption]
Pelajar, Muhammad Najib Muhd Hairuddin, 18, pula berkata ilmu yang diperolehi sepanjang sesi kuliah bersama tokoh ulama itu memberi pedoman untuknya menjalani kehidupan dengan lebih baik.
“Rasa nak buat baik lebih lagi bila dengar kuliah Baba Ismail. Saya pernah juga dengar kuliah beberapa jemputan lain di sini, tapi penyampaian Baba Ismail antara yang terbaik,” katanya.
Program Talaqqi Kitab Turath Islami masuk siri ketujuh, berlangsung sejak Selasa hingga hari ini dengan tokoh ulama itu memperincikan setiap bab dalam kitab berkenaan secara mendalam sama ada yang dibacakan dalam bahasa Arab atau Melayu.
Siri program itu dianjurkan bersama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), Media Selangor Sdn Bhd, Akademi Pemikiran Turath, pejabat Dato’ Menteri Besar dan masjid negeri.
Ia bertujuan memperkukuh pemahaman umat Islam mengenai keilmuan Imam al-Ghazali selain menjadi wadah mendalami khazanah warisan Islam yang sarat dengan hikmah dan pedoman kehidupan.