SHAH ALAM, 19 FEB: Status Malaysia sebagai pengerusi Asean tahun ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi merangsang kemasukan pelaburan antarabangsa termasuk merapatkan jurang antara negara Asia.
Dato’ Menteri Besar berkata ketika ini pentadbiran mengesan kekurangan kerjasama dagangan antara negara Asia, yang dilihat lebih banyak berurusan dalam pasaran Eropah, Amerika, China dan India.
Justeru Dato’ Menteri Besar merancang memasukkan beberapa program negeri antaranya Sidang Kemuncak Niaga Selangor (SIBS) yang dijadual berlangsung pada Oktober sebagai usaha menjayakan hasrat berkenaan.
“Kali ini kita panggil tokoh luar termasuk gabenor sekitar Asia dan ini peluang untuk merapatkan jurang antara negara. Kita juga boleh membentuk nilai pelaburan antara negara Asean supaya lebih diperkemas dan diperhebat.
“Kita anjurkan SIBS dengan lebih besar, dengan kehadiran perdana menteri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC),” katanya pada sesi pertanyaan mulut di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Menjawab soalan wakil rakyat Hulu Kelang Dato’ Mohamed Azmin Ali, beliau berkata Pameran Udara Selangor (SAS) juga akan menyokong hasrat berkenaan dengan peranannya sebagai platform mengumpul pemain industri serta sistem aeroangkasa.
Jelasnya acara tahun berkenaan tidak hanya membuat pertunjukan kapal terbang semata sebaliknya melibatkan pameran pesawat berskala lebih besar termasuk pemain industri sebagai usaha mempromosi bidang itu.
“Selalu kita buat acara terbuka dalam lapangan tetapi kali ini akan menumpukan sepenuhnya industri termasuk menyediakan dewan pameran. Kita tunjukkan semua syarikat termasuk MRO (penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih) dan perkhidmatan aeroangkasa,” katanya.
Tahun ini Malaysia menjadi tuan rumah kepada Asean buat kali ke lima selepas pernah memikul tanggungjawab sama pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.
Perhimpunan akan menyaksikan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) iaitu Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), buat julung kalinya menyertai Sidang Kemuncak GCC Asean + China.


