ad
BERITA UTAMA

Sultan tidak mahu isu milikan tanah berulang, penjawat awam diseru elak rasuah

18 Feb 2025, 5:10 AM
Sultan tidak mahu isu milikan tanah berulang, penjawat awam diseru elak rasuah
Sultan tidak mahu isu milikan tanah berulang, penjawat awam diseru elak rasuah

SHAH ALAM, 18 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor tidak mahu isu pemilikan tanah yang berlaku baru-baru ini serta penyelewengan lesen perniagaan berulang lagi.

Justeru Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan pegawai kerajaan serta kakitangan awam terutama di pejabat daerah dan tanah (PDT) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan tugas dengan tanggungjawab dan menjauhi amalan rasuah.

“Ketua-ketua jabatan perlulah memastikan salah guna kuasa tidak berlaku di jabatan masing-masing.

“Bercakap mengenai keselamatan, Beta menitahkan agar pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) diperbanyakkan di tempat strategik supaya perlakuan jenayah dapat dikesan segera.

“Polis dan bomba perlu sentiasa bersiap sedia menjalankan tugas menjaga keselamatan di negeri ini,” titah Baginda pada istiadat pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) penggal ke tiga, di sini hari ini.

[caption id="attachment_687596" align="alignnone" width="899"]
Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan titah bagi Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 18 Februari 2025. Turut mengiringi Baginda DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Sebelum ini, media melaporkan polis membongkar kegiatan memindah milik tanah secara tidak sah membabitkan ‘orang dalam’ di sebuah PDT di Selangor.

Susulan itu, Bukit Aman menahan 17 individu termasuk tujuh kakitangan PDT Klang sejak September lalu kerana disyaki terbabit kartel berkenaan membabitkan tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta.

Dalam masa sama, Sultan Sharafuddin mahu hospital dan pusat kesihatan ditambah bagi menampung pertambahan penduduk kerana rakyat masih bergantung kepada perkhidmatan kerajaan.

“Ini memandangkan kos perubatan swasta amat tinggi. Selangor memerlukan perkhidmatan kesihatan yang cekap dan mecukupi selaras dengan pertambahan dan kepadatan penduduk.

“Beta harap hospital lama dinaik taraf dan lengkap dengan peralatan serta kakitangan mencukupi. Beta mengesyorkan supaya Jabatan Kesihatan Selangor dapat berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai perkara ini,” titah Baginda.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.