ad
AGENDA

Rakyat berbilang kaum dinasihati jaga perbuatan, tutur kata, elak sentuh sensitiviti

16 Feb 2025, 6:46 AM
Rakyat berbilang kaum dinasihati jaga perbuatan, tutur kata, elak sentuh sensitiviti

KLANG, 16 FEB: Rakyat berbilang kaum di negara ini dinasihati berhati-hati dalam setiap perbuatan dan perkataan bagi mengelak sentimen perkauman yang boleh mencetuskan ketegangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata sensitiviti kaum adalah perkara yang sangat sensitif dan memerlukan sikap hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat.

“Saya belum dapat maklumat jadi saya tak boleh nak komen (lanjut), namun, memang saya dah banyak kali sebut, kita kena hati-hatilah dalam perkataan dan perbuatan kita.

“Sensitiviti kaum ini satu perkara yang sensitif, jadi masyarakat kena berhati-hati dan kita tak nak apa saja perbuatan dan perkataan yang kita keluarkan akan menyebabkan kemarahan kaum lain. Hormat menghormati itu sangat diperlukan,” kata Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau ditemui selepas program Jalinan Muhibah Madani Tahun Baharu Cina 2025 di Dewan Persatuan Hokkien Klang, hari ini.

Mohd Na’im mengulas mengenai satu notis berunsur perkauman yang tular di media sosial, mendakwa sikap tidak sensitif seorang penjual jagung bakar di Kota Warisan, Sepang, baru-baru ini.

Terdahulu, berucap pada program itu, Mohd Na’im berkata Gagasan Kalimah Tayyibah, yang diluncurkannya baru-baru ini sebagai usaha menyemarak budaya bercakap dengan perkataan yang baik, berhemah dan bersopan.

“Semua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah digerakkan untuk menyebarkan kempen Kalimah Tayyibah (baik) ini agar masyarakat Islam benar-benar menghayati dan mengamalkan ajaran Islam ini.

“Kita tidak mahu masyarakat kita hidup dalam keadaan bercakap dengan kata-kata yang buruk, memfitnah, memaki hamun dan saling bertengkar di antara satu sama lain. Ini jelas, bukan akhlak yang diajarkan oleh Islam,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.