ARAU, 15 FEB: Sepasang suami isteri antara empat individu ditahan polis menerusi Op Pintu kerana disyaki terlibat dalam 12 kes pecah rumah dan satu kes ugutan jenayah di kawasan sekitar daerah Arau dan Kangar.
Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata pasangan suami isteri masing-masing berumur 23 dan 26 tahun itu ditahan di pekarangan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau pada 8 Feb lepas sehingga membawa kepada penahanan dua lagi lelaki berumur 23 dan 28 tahun.
"Dua lagi lelaki itu dipercayai rakan jenayah mereka. Kesemua suspek disyaki terlibat dalam lima kes pecah rumah dan satu kes ugutan jenayah di Arau serta tujuh kes pecah rumah di Kangar,” katanya pada sidang media di IPD Arau di sini hari ini.
Ahmad Mohsin berkata polis turut merampas pelbagai barangan antaranya tong gas, mesin rumput, pam air, pisau, set spanar, dan sebuah kereta Toyota Vios.
“Hasil siasatan mendapati modus operandi kumpulan ini dengan meninjau terlebih dahulu rumah yang sesuai sebelum melakukan pecah rumah. Mereka tidak terikat kepada waktu tertentu dan beroperasi pada siang, malam serta awal pagi mengikut keadaan yang sesuai.
“Semakan mendapati tiga suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah manakala ujian urin mendapati lelaki berusia 23 tahun iaitu suami wanita berkenaan didapati positif dadah methamphetamine,” katanya.
Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 9 Feb bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457, 506 dan 448 Kanun Keseksaan.
- BERNAMA