ad
BERITA UTAMA

Penyampai banyak sembang, Halim Othman idam era keemasan radio

13 Feb 2025, 6:00 AM
Penyampai banyak sembang, Halim Othman idam era keemasan radio

Pengacara dan bekas penyampai radio terkenal yakin stesen radio berupaya mengembalikan kegemilangannya jika memiliki penyampai kreatif, berpengetahuan dan mahir bahasa.

Kesal kebanyakan penyampai masa kini asyik mengguna pakai bahasa pasar, bersembang sesama sendiri dan kurang variasi bahan bermaklumat, Halim Othman yang kini berusia 61 tahun tidak menyembunyikan kekecewaannya berikutan peranan radio kian hambar.

Pemenang anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) kategori penyampai radio sebanyak lima kali itu percaya penyampai perlu ada seni tersendiri ketika ke udara, bukan terlalu santai lantaran pendengar terdiri pelbagai kelompok termasuk golongan profesional.

Meski mengakui kewujudan pelbagai peranti canggih dan media sosial, beliau percaya penyampai berperanan mengembalikan zaman keemasan atau sekurang-kurangnya membawa wadah itu ke tahap lebih baik.

“Boleh menggunakan media sosial tetapi secara minimum untuk publisiti, promosi mungkin boleh tetapi identiti dan kualiti kena kekal macam dahulu. Kembali kepada ketulenan radio asal,” katanya kepada Media Selangor sempena Hari Radio Sedunia pada 13 Februari.

Kini bersiaran di TikTok, Halim yang pernah memecahkan rekod sebagai penyampai paling lama ke udara tanpa henti percaya masa depan radio bergantung kepada pendengar yang lazimnya mementingkan mutu penyampaian, bukan hiburan semata-mata.

“Saya dapati pendengar radio hendak penyampai yang tulen. Penyampai radio yang tulen ini lain dengan penyampai radio bukan tulen.

“Pendengar radio tulen akan kekal, ikut mana penyampai itu pergi. Tidak kisah sangat stesen mana, kebanyakan pendengar ikut ke mana penyampai pergi,” katanya.

Halim juga menyifatkan langkah mengambil individu terkenal termasuk pempengaruh hanya kemeriahan sementara, tidak membantu mengembalikan zaman keemasan radio.

“Kalau ambil pempengaruh yang ramai pengikut, bila ke radio, dia akan jadi seperti berinteraksi dengan pengikut media sosial tetapi tidak beri kepuasan kepada pendengar radio sebenar kecuali pengikutnya. Itu sedikit sebanyak merosakkan radio.

“Stesen radio kena bersabar. Jangan pinjam populariti tempat lain untuk radio kerana ia tidak bertahan lama,” katanya yang yakin kitaran kegemilangan radio akan kembali.

Era gemilang

Halim yakin beliau dan rakan seangkatan antaranya Kudsia Kahar, Jamal Jamaluddin, Linda Onn, Khairil Rashid, Sealan Paul, Najman dan David Low mengangkat aura radio ke tahap lebih baik jika diberi peluang.

“Selalunya setiap sesuatu ada kitarannya. Radio sekarang ibarat musim sejuk yang suram. Saya harap selepas ini datang semula musim bunga.

“Saya harap radio kembali ke musim bunga dan musim panas semula. Jadi saya harap satu lagi pusingan yang membawa semula aura radio yang sebenar,” katanya.

Halim dibesarkan dalam keluarga mementingkan pendidikan dan membolehkan beliau menamatkan pengajian di University of Tennessee, Amerika Syarikat sebelum bekerja sebagai arkitek selama lima tahun.

Kariernya dalam dunia penyiaran bermula sebagai pengacara sambilan rancangan Selamat Pagi Malaysia di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1993.

Tiga tahun kemudian, Halim meletak jawatan sebagai arkitek untuk menjadi pengacara Roda Impian. Selepas dua tahun mengendalikan rancangan kuiz tersebut, anak jati Terengganu itu memulakan kerjaya sebagai penyampai Radio Era mulai 1998.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu pantas membina reputasi sebagai penyampai terkenal. Sepanjang di Radio Era, empat kali beliau merangkul gelaran Penyampai Radio Lelaki Popular ABPBH pada 2001, 2003, 2004, 2005. Satu lagi pada 2006 bersama Sinar FM.

Beliau turut mencipta rekod bersiaran 42 jam tanpa henti, mengatasi rekod juruhebah BBC One Simon Mayo iaitu 37 jam. Halim bermula jam enam pagi 14 Ogos 2000 dan berakhir 12 tengah malam hari berikutnya.

Halim menyifatkan kejayaannya dalam industri radio banyak dibantu majikan selain kerja berpasukan bersama rakan penyampai lain.

“Saya bertuah kerana berada dalam satu angkatan yang kuat, ini antara sebab saya menang anugerah kerana dapat sokongan kuat stesen radio dan rakan-rakan,” katanya.

Halim menyertai Sinar FM pada 2006 sebelum meninggalkan stesen radio itu pada 2008. Selepas berehat dua tahun beliau kembali ke konti Suria FM pula.

Pada 2019, beliau berundur dari dunia penyiaran sebaliknya bersiaran di TikTok secara langsung atas nama HO Radio jam 10 pagi hingga 12 tengahari setiap Selasa hingga Jumaat. Manakala hari Sabtu jam 10 malam hingga 12 tengah malam.

“Sekarang saya bebas berkarya. Saya boleh buat carta Wings dan Search seperti hari ini. Carta Ahmad Jais, carta P Ramlee. Jadi, saya bebas berkarya.

“Saya juga bebas buat (bersiaran) dari rumah tetapi kalau memikirkan radio, saya rasa ramai minta saya kembali ke untuk membantu menaikkan atau membawa semula zaman keemasan radio,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.