Penganut Hindu menyambut perayaan Thaipusam hari ini, sambutan terbesar dalam negara di Batu Caves yang menempatkan patung Dewa Murugan tertinggi di dunia berukuran 42.7 meter.
Tahun lalu, hampir sejuta pengunjung termasuk pelancong asing membanjiri Kuil Sri Subramaniar Swami di situ.
Sambutan itu bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan yang juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam. Kerana itu perayaan ini berpusat di kuil-kuil Dewa Murugan.
Wartawan NADIAH ZAMLUS menyusun maklumat penting mengenai perayaan berkenaan. Foto oleh FIKRI YUSOF.
[caption id="attachment_686364" align="aligncenter" width="719"] Penganut Hindu menaiki 272 anak tangga bagi menunaikan upacara keagamaan sempena perayaan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves pada 24 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]
Apa itu Thaipusam?
Disambut pada bulan ‘Thai’, bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil. Bulan penuh Thai akan berada pada kedudukan melintasi bintang terang bernama ‘Pusam’. Dari sinilah terhasilnya nama ‘Thaipusam’.
Penganutnya menunaikan nazar, juga berpuasa. Bagi yang bernazar dan hajat dimakbulkan, maka perlu melakukan upacara sebagai tanda kesyukuran.
Caranya, mereka akan membawa dan mengusung kavadi, menjunjung belanga mengandungi susu, menindik, mencukur rambut dan menyembah Dewa Murugan dengan membawa pelbagai persembahan.
Sejarah Deva Murugan
Golongan ‘asura’ (makhluk jahat) bernama Surapadman berperang dengan para dewa. Dewa Shiva mencipta Dewa Peperangan iaitu Murugan (juga dikenali dengan nama Subramaniam, Velan, Kanthan dan Saravanan).
Isteri Dewa Shiva mengurniakan senjata berupa lembing yang dipanggil ‘vel’ kepada Murugan untuk menghapuskan Surapadman.
Ketika hampir mati di tangan Murugan, Surapadman sempat mohon ampun sehingga Surapadman bertukar menjadi bentuk seekor merak.
Laungan ‘Vel! Vel!’ yang biasa didengar ketika perayaan tanda memperingati kejayaan Murugan menghapuskan kejahatan menggunakan senjata sakti. ‘Vel! Vel!’ juga bermaksud lembing kemenangan.
[caption id="attachment_686365" align="aligncenter" width="726"] Penganut Hindu menunaikan upacara keagamaan sempena perayaan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves pada 24 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]
Persediaan sambutan
48 hari sebelum perayaan, penganut membersihkan diri dari semua kotoran mental dan fizikal seperti:
- kawal deria
- puasa atau hanya makan satu hidangan
- tidak merokok dan minum alkohol
- mandi air sejuk
- tidur atas lantai
Kepentingan kavadi
Salah satu persembahan kepada dewa, melambangkan beban. Pada asasnya ia struktur berbentuk busur dan dihiasi bulu merak. Beratnya boleh mencecah sehingga 35 kilogram.
Membawanya ke kuil ketika Thaipusam dianggap bertuah.
Antara jenis kavadi:
- Theertha/ Panneer Kavadi
berisi air suci atau air mawar untuk mandi suci kepada Dewa Murugan
- Paal Kavadi
berisi susu, dihiasi bulu merak dan gambar dewa
- Alangara Kavadi
dihiasi burung merak, gambar dewa dan simbol agama lain
- Pushpa Kavadi
dihiasi pelbagai bunga dan mereka yang membawanya menusuk lidah dan pipi dengan lembing kecil
[caption id="attachment_686366" align="aligncenter" width="805"] Penganut Hindu menunaikan upacara keagamaan sempena perayaan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves pada 24 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]
Larangan
- penganut lelaki yang membawa kavadi tidak boleh memakai baju
- wanita tidak boleh melepaskan rambut panjang mereka (atau rambut yang agak pendek) semasa di kuil
- wanita dalam haid tidak boleh memikul kavadi
Sumber: portal malaysiahindusangam