ad
BERITA UTAMA

Anak-anak GISBH dihantar ke sekolah, EXCO seru sokongan masyarakat

8 Feb 2025, 7:19 AM
Anak-anak GISBH dihantar ke sekolah, EXCO seru sokongan masyarakat
Anak-anak GISBH dihantar ke sekolah, EXCO seru sokongan masyarakat
Anak-anak GISBH dihantar ke sekolah, EXCO seru sokongan masyarakat

Oleh DEWI ABDUL RAHMAN

SHAH ALAM, 8 FEB: Seramai 200 anak-anak bekas ahli GISB Holdings (GISBH) yang selesai menjalani pemulihan akan memulakan pendidikan formal di sekolah kerajaan tidak lama lagi.

EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata mereka akan dipantau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memastikan tiada yang melanggar syarat pelepasan atau bakal berdepan tindakan.

[caption id="attachment_686040" align="aligncenter" width="725"] EXCO Agama Dr Fahmi Ngah berucap pada majlis penyampaian sumbangan barang persekolahan kepada anak-anak GISBH di Dewan Muzakarah Shah Alam pada 8 Februari 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

"Syarat pelepasan termasuk memasukkan anak mereka ke sekolah kebangsaan untuk kita integrasikan dalam masyarakat. Saya mahu berpesan kita harus mendampingi dan melayan mereka seperti orang lain.

"(Kita perlu) berkawan baik dan bantu mereka, baik guru ataupun rakan-rakan sekolah yang ada," katanya ditemui selepas menyerahkan bantuan persekolahan berjumlah RM400 kepada anak-anak GISBH, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menambah pemulihan akidah dalam kalangan kanak-kanak berkenaan juga semakin baik menerusi semakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam (Mais).

[caption id="attachment_686039" align="aligncenter" width="704"] EXCO Agama Dr Fahmi Ngah (dua, kiri) bersama Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (dua, kanan) menyampaikan sumbangan barang persekolahan kepada anak-anak GISBH di Dewan Muzakarah Shah Alam pada 8 Februari 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

Oktober tahun lalu, Selangor memfatwa dan mewartakan fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ahli GISBH dan rangkaiannya menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Berdasarkan fatwa yang diwartakan itu, mana-mana orang Islam dilarang untuk beramal, berpegang, menjadi pengikut, mengajar, menyebarkan, mengembangkan dan menyokong ajaran tersebut.

Pada bulan sama juga, Kerajaan Selangor menubuhkan satu pasukan khas bagi meneliti program pemulihan khusus untuk kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal GISBH.

Pasukan itu dianggotai wakil polis JKM, Jabatan Pendidikan Negeri, Lembaga Zakat Selangor, Mais, Jais, pakar psikologi dan pendidikan kanak-kanak Yayasan MBI serta Yayasan Selgate.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.