SHAH ALAM, 7 FEB: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) mengagihkan dana tabung wakaf berjumlah RM52,000 bagi menambah baik prasarana dua masjid, baru-baru ini.
PWS memaklumkan RM35,000 diserahkan kepada Masjid As-Salam, Bukit Sentosa, Gombak pada 30 Januari untuk menaik taraf stor dan bilik pengurusan jenazah.
Manakala, RM17,000 diserahkan kepada Masjid Al-Hidayah, Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 29 Januari untuk menambak tanah dan memasang pagar di tanah perkuburan kariah masjid tersebut.
“Agihan tabung wakaf tersebut adalah dari kutipan tabung wakaf tunai yang diletakkan di masjid dengan 33 peratus dari hasil kutipan tabung akan diserahkan balik kepada masjid,” katanya di Facebook.
[caption id="attachment_685785" align="aligncenter" width="815"] Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyerahkan agihan tabung wakaf berjumlah RM17,000 kepada Masjid Al-Hidayah, Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 29 Januari 2025. Foto Facebook Perbadanan Wakaf Selangor[/caption]
Selain itu, PWS turut menyerahkan sumbangan wakaf fisabilillah berjumlah RM15,000 kepada Surau Ar-Raudhah, Bandar Botanik, Klang untuk pemasangan penyaman udara di premis tersebut.
Menurutnya, PWS turut mengadakan tazkirah wakaf di institusi terlibat bagi menyebarluas dakwah, kefahaman, kesedaran dan hikmah berwakaf kepada ahli kariah dan jemaah.
PWS memaklumkan sumbangan wakaf boleh dibuat menerusi laman web PWS di fpx.wakafselangor.gov.my atau infaqpay.my/go/wakafselangor untuk berwakaf tunai.
[caption id="attachment_685784" align="aligncenter" width="791"] Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyerahkan sumbangan wakaf fisabilillah berjumlah RM15,000 kepada Surau Ar-Raudhah, Bandar Botanik, Klang pada 30 Januari 2025. Foto Facebook Perbadanan Wakaf Selangor[/caption]
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif PWS Anuar Hamzah Tohar memaklumkan, agensi itu berjaya mengagihkan wakaf fisabilillah sebanyak RM2.4 juta pada tahun lalu.
Menurutnya agihan dibuat kepada 69 institusi termasuk tujuh masjid, 12 surau dan 45 pusat pendidikan di seluruh negeri.