AGENDA

Malaysia garis tiga keutamaan Kepengerusian Asean, pacu daya tahan rantau di peringkat global

6 Feb 2025, 5:16 AM
Malaysia garis tiga keutamaan Kepengerusian Asean, pacu daya tahan rantau di peringkat global

SHAH ALAM, 6 FEB: Malaysia selaku Pengerusi Asean 2025 menggariskan tiga keutamaan kepengerusiannya dalam memacu kesatuan, daya tahan dan relevansi rantau ini di peringkat global.

Menteri Luar Dato’ Seri Mohamad Hasan berkata pertama, Malaysia akan memberi tumpuan meningkatkan usaha memastikan rantau Asia Tenggara kekal aman, stabil, selamat dan makmur ketika berhadapan cabaran geopolitik antarabangsa semasa.

“Ini akan dilaksanakan menerusi membina keyakinan strategik, dialog dan diplomasi, dengan berlandaskan prinsip Kepusatan Asean.

“Keduanya, daripada segi ekonomi, Malaysia akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-Asean yang dilihat masih rendah serta memperluas kerjasama dan perkongsian ekonomi dengan rakan-rakan di luar rantau ini.

“Ini termasuk, menerajui usaha menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan Asean (ATIGA) dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean (DEFA) yang mana kedua-duanya direka untuk memperkukuh daya tahan ekonomi rantau ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Paya Besar Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah mengenai objektif Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025 dalam memacu kesatuan, daya tahan dan relevansi Asean  daripada aspek politik-keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya.

Mengulas lanjut, katanya Malaysia akan turut mempromosikan komuniti inklusif, mampan dan berdaya saing dengan mengutamakan usaha merapatkan jurang pembangunan, meningkatkan kualiti kehidupan dan menangani impak perubahan iklim.

“Ini supaya manfaat ekonomi dan pembangunan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat di rantau ini, termasuk kumpulan rentan yang mana ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasa rakyat, serta aspirasi Asean dalam membentuk sebuah komuniti yang berpaksikan rakyat,” katanya.

Menurut Mohamad, semasa kepengerusian Asean-Malaysia tahun ini, Asean akan melancarkan Visi Komuniti Asean 2045 dan empat pelan strategiknya yang bakal melakar hala tuju strategik rantau ini bagi 20 tahun akan datang.

“Empat pelan strategik itu meliputi aspek politik-keselamatan, ekonomi, sosio-budaya dan kesalinghubungan yang mana setakat hari ini, perbincangan mengenai keempat-empat pelan strategik berjalan lancar dan sejajar dengan perancangan.

“Dua daripada empat pelan strategik tersebut, iaitu politik-keselamatan dan sosio-budaya telah berjaya dimuktamadkan, manakala dua lagi masing-masing telah sempurna dalam lingkungan 85 hingga 99 peratus dan saya yakin dokumen-dokumen tersebut akan dapat dimuktamadkan sebagaimana dirancang,” katanya.

Katanya, Malaysia juga komited dalam menyokong proses keanggotaan penuh Timor-Leste ke Asean dan selaku Pengerusi Asean 2025, Malaysia akan memastikan isu ini menjadi salah satu keutamaan dalam mesyuarat-mesyuarat Asean, termasuk Sidang Kemuncak Asean.

Malaysia mengambil alih kepengerusian Asean pada 1 Januari 2025 daripada Laos, dengan bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk Asean yang bersatu dan makmur.

Ia merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi Asean selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Asean yang diasaskan pada 8 Ogos 1967 kini dianggotai 10 negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam manakala kemasukan Timor-Leste untuk menjadi negara anggota masih lagi dalam proses.