SHAH ALAM, 4 FEB: Kenaikan tarif elektrik bermula Julai depan tidak melibatkan 85 peratus isi rumah, sebaliknya hanya kepada industri dan golongan kaya, tegas perdana menteri.
Menerusi sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kenaikan itu mengikut kaedah mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT).
“Kenaikan tarif bagi industri, bukan kepada negara atau rakyat dan itu pun bukan 14 peratus. Kenaikan tarif kepada industri dan golongan kaya. Kalau tidak, bagaimana hendak tambah peruntukan kepada sekolah, hospital. Mana hendak dapatkan wang?
"Saya tegaskan semula. Kenaikan kadar elektrik untuk industri akan berlaku mengikut kaedah ICPT bermula Julai. 85 peratus rakyat tidak akan terkesan dengan kenaikan ini,” katanya.
Dalam sebuah majlis semalam, Anwar memberi jaminan sebarang kenaikan tarif elektrik pada separuh kedua tahun ini tidak akan membeban atau merugikan komuniti perniagaan.
Sebelum ini, media melaporkan tarif elektrik asas di Semenanjung Malaysia akan meningkat 14.2 peratus kepada 45.62 sen/kWj bagi tempoh 2025 hingga 2027.
Pelarasan naik daripada kadar semasa 39.95 sen/kWj ini adalah hasil penelitian yang dicapai pada rangka kerja kawal selia sektor kuasa kelak.