KUALA LUMPUR, 3 FEB: Siasatan berhubung insiden tembakan membabitkan warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu, Selangor pada 24 Januari, dibuat dengan telus, profesional dan tertib, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata tiada halangan kepada wakil kedutaan Indonesia untuk berkomunikasi atau melawat suspek kes yang merupakan warga negara republik itu.
“Kita transparent (buat siasatan), tak ada apa yang kita nak sembunyikan. Kita akan lakukan (siasatan) dengan penuh tertib dan penuh tanggungjawab.
“Kes ini membabitkan warga Indonesia, pihak kedutaan mereka menghubungi kita untuk melawat suspek dan dibenarkan dan beri akses kepada mereka,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.
Saifuddin Nasution berkata insiden itu melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan warga negara jiran, yang dipercayai ada kaitan dengan jenayah penyeludupan migran.
Beliau berkata pihak polis telah menahan seorang lelaki warga Indonesia yang disahkan bertindak sebagai transporter serta mempunyai kaitan dengan insiden berkenaan.
Tanpa mendedahkan maklumat lanjut, Saifuddin Nasution berkata individu berkenaan yang memiliki dokumen perjalanan sah dengan rekod perjalanan masuk dan keluar dari Malaysia ke negara jiran itu.
“Buat masa sekarang kita establish dia sebagai transporter dan rekod semakan pasport Imigresen yang juga menunjukkan pergerakan dia pulang pergi untuk satu tujuan ini (seludup migran).
Memperincikan insiden pada 24 Januari, Saifuddin Nasution berkata radar APMM mengesan terdapat ‘kontak curiga’ di dalam kawasan perairan negara, sebelum pasukan penguat kuasa membuat pintasan serta memberi amaran menggunakan pelaung suara namun tidak dihiraukan.
“APMM kemudian mengejar bot itu yang kemudian cuba melanggar enjin bot APMM dan kerana perbuatan melanggar itulah, maka tembakan amaran dilepaskan ke udara, namun bot itu tidak berhenti dan dalam keadaan begitu, APMM kemudiannya menyasarkan (tembakan) pada bahagian enjin bot berkenaan,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata polis menyiasat kes berkenaan Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Beliau berkata polis juga tidak menolak kemungkinan hasil siasatan lanjut akan membawa kepada kertas siasatan melibatkan penyeludupan senjata dan dadah dibuka.
Selain itu, beliau berkata APMM turut menjalankan siasatan dalaman dan semua anggota pasukan yang terlibat dalam insiden berkenaan, direhatkan daripada tugas buat sementara waktu.
-BERNAMA