SUBANG JAYA, 1 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menawarkan perkhidmatan bas secara percuma untuk pelajar sekolah di sepanjang laluan PJ01 dan PJ02 mulai sesi persekolahan baharu ini.
Datuk Bandar Petaling Jaya berkata inisiatif PJ City Bus ‘Shuttle Service’ menyediakan dua bas untuk pergi dan balik sekolah dengan waktu operasi bermula seawal 6.30 pagi hingga 1 tengah hari.
Jelas Mohamad Zahri Samingon, inisiatif tersebut juga seiring dengan agenda Petaling Jaya sebagai bandar mesra kanak-kanak selain memastikan hak pendidikan mereka terpelihara.
"Kita akan melibatkan kanak-kanak dalam setiap perancangan pembangunan di Petaling Jaya. Kita mahu wujudkan persekitaran selamat untuk mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan baucar kepada penerima Program Sumbangan Baucar Beli-Belah Jom Kembali ke Sekolah 2025 di Pasar Raya Mydin USJ di sini, hari ini.
Pada masa sama, Mohamad Zahri memberitahu program merupakan komitmen MBPJ membantu golongan rentan serta meningkat tahap kesejahteraan masyarakat seperti terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
“MBPJ akan terus memain peranan aktif memperkasa kesejahteraan komuniti menerusi pelbagai program bantuan dan inisiatif kebajikan.
“Ia selaras dengan matlamat RS-1 di bawah strategi kedua iaitu Peningkatan Kesejahteraan dan Keterangkuman Sosial,” jelasnya.


