KUALA LUMPUR, 1 FEB: Situasi banjir di Sabah menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) turun mendadak petang ini manakala di Sarawak merekodkan peningkatan.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan dengan penutupan 19 PPS di daerah Kota Marudu, Kota Belud, Telupid dan Tongod yang diisytiharkan pulih, jumlah mangsa kini 1,702 orang setakat 4 petang ini, berbanding 5,216 orang pagi tadi.
Mereka berlindung di 14 PPS di lima daerah dengan Pitas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 806 mangsa diikuti Lahad Datu (514), Paitan (215), Beaufort (110) dan Beluran dengan 57 mangsa.
Kota Marudu diisytiharkan pulih pada 10 pagi tadi diikuti Kota Belud pada 12 tengah hari, Telupid, 1 tengah hari dan Tongod pada 2 petang.
Di Sarawak, jumlah mangsa banjir merekodkan peningkatan kepada 12,656 orang setakat 4 petang ini berbanding 12,486 orang pagi tadi.
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, daerah Bintulu kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 5,712 orang diikuti Serian (2,576) serta Samarahan, 1,920 mangsa.
Daerah lain yang terjejas adalah Sibu dengan 1,163 orang, Miri (1,031), Kuching (238) manakala Mukah pula merekodkan 16 mangsa daripada lapan keluarga.
Sementara itu, sekretariat terbabit memaklumkan Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua Batu Kawa di Kuching dan Balai Raya Ensebang Padang Bilon di Balai Ringin, Serian, yang dijadikan PPS ditutup petang tadi susulan keadaan banjir sudah pulih.
Sekretariat juga memaklumkan bahawa tiga PPS baharu iaitu Kem Beliah Mukah dan Dewan Kampung Bawang, Matu, di Mukah serta Dewan Masyarakat Beluru, Miri, dibuka petang ini, menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi di negeri itu 63 PPS.
- BERNAMA


