ad
BERITA UTAMA

Tuisyen percuma berkesan, diperluas kepada pelajar tingkatan empat

31 Jan 2025, 8:00 AM
Tuisyen percuma berkesan, diperluas kepada pelajar tingkatan empat
Tuisyen percuma berkesan, diperluas kepada pelajar tingkatan empat

SHAH ALAM, 31 JAN: Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) diteruskan lagi pada tahun ini dan diperluaskan kepada 130,000 pelajar tingkatan empat.

Dato’ Menteri Besar berkata program itu terbukti berkesan apabila 3,552 peserta PTRS meraih keputusan cemerlang gred A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, keputusan SPM 2023 turut mencatatkan peningkatan apabila 91.14 peratus pelajar lulus berbanding 89.2 peratus tahun sebelumnya.

“Susulan kejayaan ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10 juta untuk PTRS. Insya-Allah, kita akan sedaya upaya memastikan pendidikan anak Selangor sentiasa dijadikan agenda utama.

“Malah, pada 2023 makanan tengahari turut ditambah untuk membantu pelajar lebih selesa belajar,” katanya menerusi Facebook.

[caption id="attachment_680870" align="alignnone" width="902"] Modul buku Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2024 yang dilancarkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 13 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

PTRS adalah bantuan kelas tambahan bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan. Program tersebut menyasarkan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang prestasi pelajaran sederhana atau lemah.

Pada 13 Ogos lalu, Kerajaan Negeri melancarkan aplikasi e-PTRS yang menyasarkan 200,000 pelajar mendapat manfaat teknologi baharu itu. Pengenalan aplikasi pembelajaran berkenaan antara penambahbaikan PTRS yang wujud sejak 2008.

Belanjawan Selangor 2025 memperuntuk RM10 juta bagi melaksanakan PTRS melibatkan pelajar tingkatan empat dan lima manakala RM1 juta untuk program intervensi literasi dan numerasi di sekolah rendah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.