ad
AGENDA

Penjenayah guna alat renjatan elektrik, samun warga emas

29 Jan 2025, 2:00 PM
Penjenayah guna alat renjatan elektrik, samun warga emas

JOHOR BAHRU, 29 JAN: Seorang wanita warga emas cedera ringan di kepala dan mengalami kerugian dianggarkan RM1,500 selepas disamun tiga lelaki bersenjatakan alat perenjat elektrik (taser) di sebuah rumah di Taman Skudai Baru, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata ketika kejadian pada 8.06 malam itu, mangsa berusia 60 tahun didatangi oleh suspek yang menunggang dua motosikal di luar pagar rumahnya.

“Seorang daripada suspek bertindak menarik beg tangan mangsa sambil mengacukan senjata disyaki taser untuk memaksa mangsa menyerahkan beg tangannya dan berlaku pergelutan hingga mangsa terjatuh.

"Suspek kemudian berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Balveer Singh berkata kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan secara berkumpulan dan menggunakan senjata dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563122.

Terdahulu, tular satu video di TikTok berdurasi satu minit tujuh saat yang memaparkan seorang wanita disamun dengan alat perenjat elektrik ketika ingin memasuki rumahnya.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.