AGENDA

Derita tahanan Palestin: '54 hari dilayan bak haiwan, ditendang bertalu-talu'

28 Jan 2025, 1:00 AM
Derita tahanan Palestin: '54 hari dilayan bak haiwan, ditendang bertalu-talu'
Derita tahanan Palestin: '54 hari dilayan bak haiwan, ditendang bertalu-talu'
Derita tahanan Palestin: '54 hari dilayan bak haiwan, ditendang bertalu-talu'

SHAH ALAM, 28 JAN: Dokumentari terbitan unit penyiasatan agensi berita antarabangsa Al Jazeera, yang menjejaki jenayah perang di Semenanjung Gaza, membongkar kisah tragis tahanan rejim Israel.

Berpandukan rakaman video wartawan Palestin, ia turut menyingkap keperitan dan kisah memilukan individu ditahan dan diseksa tanpa perikemanusiaan sejak perang tercetus pada 7 Oktober 2023.

Seorang wanita yang baharu bersalin secara pembedahan menyingkap bagaimana dirinya diseksa selama 54 hari sebagai tahanan Israel, ditendang di perut bertalu-talu, selain belakang badan dipukul.

Hadeel Dahdouh yang dipindahkan ke pelbagai lokasi termasuk pinggir bandar Jerusalem dan penjara sempit di Haifa juga ditempatkan seorang diri bersama tawanan lelaki dengan tudung ditanggalkan.

[caption id="attachment_684175" align="aligncenter" width="715"] Temu bual Al Jazaaera bersama tahanan Palestin Hadeel Dahdouh. Foto tangkap layar Al Jazeera Investigations[/caption]

“Sejak malam pertama ditahan, penuh penyeksaan. Saya minta gari yang mengikat tangan dan kain penutup mata dilonggarkan tetapi mereka ketatkan hingga bulu mata tercucuk ke dalam mata.

“Kami juga dikhayalkan dengan ubat bius. Mereka mahu korek maklumat di mana terowong dan tentera Hamas, Sinwar dan sebagainya. Kami dilayan seperti anjing. Tidak boleh bercakap atau bergerak.

"Tangan digari dan mata ditutup sepanjang masa. Hanya satu selimut basah untuk dikongsi dalam musim sejuk Disember. Mereka siram air, soal siasat dalam kebasahan pada musim sejuk,” ceritanya mengimbau peristiwa hitam itu.

Hadeel yang dibebaskan susulan gencatan senjata 19 Januari lalu perlu berlari empat kilometer untuk ke kem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Palestin sambil tembakan dilepaskan ke udara.

Seluruh tubuhnya lemah setelah hampir dua bulan dikurung. Pergerakan tangan juga terhad akibat gari yang terlalu ketat, selain menderita sakit belakang, kaki dan telinga.

Fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza selama enam minggu berkuat kuasa 19 Januari, menggantung perang genosid Israel yang membunuh hampir 47,300 rakyat Palestin.

Kebanyakan mangsa melibatkan wanita dan kanak-kanak, lebih 111,400 orang turut tercedera, sekali gus dianggap krisis kemanusiaan global terburuk yang pernah berlaku sejak 7 Oktober 2023.

Pada hari pertama gencatan senjata, Israel membebaskan 90 tahanan Palestin sebagai pertukaran tiga tawanan Israel yang dibebaskan oleh Hamas.

Rumah dibom, ibu digilis kereta kebal

Kisah Muhanad dan Areej Aljamal, dua beradik dari kem pelarian Shujaiya di utara Gaza, yang trauma apabila rumah mereka diserang tentera Israel menggunakan bom tangan pada 27 Jun tahun lalu.

[caption id="attachment_684174" align="aligncenter" width="805"] Temu bual Al Jazaaera bersama tahanan Palestin Muhanad Aljamal. Foto tangkap layar Al Jazeera Investigations[/caption]

Lebih menyayat hati, ibu mereka cedera parah akibat terkena serpihan bom berkenaan dan tanpa belas kasihan digilis mengguna kereta kebal hingga terkeluar isi perut.

"Mereka masuk ke dalam rumah, nampak kami tetapi tetap baling bom tangan. Saya angkat bendera putih, mereka tembak tangan saya. Mereka pura-pura bawa pengusung bantu turunkan ibu saya.

"(Bawa) ke bawah rumah seperti mahu selamatkan, tetapi mereka langgar ibu saya dengan kereta kebal, dua kali hingga organ dalamannya terkeluar di depan mata saya,” cerita dua beradik itu.

Perjanjian gencatan senjata tiga fasa merangkumi pertukaran tahanan dan ketenangan berterusan, dengan matlamat mencapai genjatan senjata kekal serta pengunduran tentera Israel dari Gaza.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilapor berkata gencatan senjata itu mesti menjadi batu loncatan ke arah menubuhkan sebuah negara Palestin yang berdaulat dan merdeka.