BERITA UTAMA

Pembangunan ancam habitat, apa nasib primat di Malaysia?

28 Jan 2025, 12:00 AM
Pembangunan ancam habitat, apa nasib primat di Malaysia?
Pembangunan ancam habitat, apa nasib primat di Malaysia?
Pembangunan ancam habitat, apa nasib primat di Malaysia?

Oleh Yasmin Ramlan

SHAH ALAM, 28 JAN: Di sebalik hutan hujan tropika Malaysia yang subur, muncul krisis senyap — perjuangan antara primat (kumpulan mamalia) dengan kemajuan pembangunan manusia yang berterusan.

Secara global, primat penting dalam mengekalkan ekosistem hutan, bertindak sebagai "tukang kebun" alam dengan menyebarkan benih untuk menjana semula komuniti tumbuhan dan mengekalkan biodiversiti.

“Penurunan populasi primat boleh memberi kesan berantai terhadap kesihatan keseluruhan ekosistem,” kata Dr Nadine Ruppert, pensyarah di Pusat Pengajian Sains Biologi, Universiti Sains Malaysia kepada Selangor Journal.

Namun, ketika populasi primat menurun dengan lebih 60 peratus spesies terancam, nasib mereka berkait rapat dengan aktiviti manusia - menekankan keperluan mendesak untuk usaha pemuliharaan.

Ancaman di Malaysia

Di Malaysia, keadaannya sama suram. Menurut Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN), 15 daripada 26 spesies primat di Malaysia dikategorikan terancam atau sangat terancam.

[caption id="attachment_684216" align="alignright" width="500"] Spesies ungka tangan putih. Foto wikipedia[/caption]

Spesies itu ialah orangutan Borneo, lotong cengkong Raffles, lotong cengkong Borneo, ungka tangan putih, ungka lincah, ungka kelabu Abbott, kera ekor panjang, beruk, lotong kelabu, monyet belanda, kongkang Sunda, ungka kelabu utara, siamang, lotong kelabu Sabah, dan kongkang Bengal.

Lapan spesies lain dianggap rentan, manakala tiga dikategorikan sebagai hampir terancam.

Dr Nadine berkata penebangan hutan untuk pertanian, pembalakan, dan pembangunan bandar mengurangkan habitat yang tersedia untuk spesies berkenaan.

"Apabila primat hilang habitat semula jadi, mereka terpaksa masuk ke kawasan didominasi manusia untuk mencari makanan dan berdepan ancaman dilanggar kenderaan dan pembunuhan (balas dendam)."

Menurutnya, pemecahan habitat mengasingkan populasi primat, menyukarkan mereka mencari makanan, pasangan, dan perlindungan - membawa kepada pengurangan genetik dan mengancam kelangsungan hidup.

Konflik manusia-haiwan

Di Semenanjung, konflik antara manusia dan hidupan liar yang melibatkan spesies kera ekor panjang, semakin biasa. Primat ini mencari makanan di kawasan bandar, menimbulkan imej sebagai perosak.

Namun, naratif tersebut mengabaikan kepentingan ekologi primat dan keseimbangan kompleks yang dipelihara dalam ekosistem mereka.

Dr Nadine menyebut pembangunan pesat di Selangor, sebagai contoh aktiviti manusia yang membawa kepada pemecahan habitat, memaksa primat masuk ke penempatan manusia yang dilihat negatif.

Johor dan Pahang juga melaporkan insiden serupa, dengan primat sering memakan tanaman dan menyebabkan kerugian ekonomi kepada petani.

[caption id="attachment_684215" align="alignleft" width="390"] Spesies kongkang Sunda. Foto wikipedia[/caption]

Kisah badak Sumatera berulang?

Pernah menjadi simbol kekayaan biodiversiti Asia Tenggara, badak Sumatera pupus di Malaysia akibat gabungan kehilangan habitat, pemburuan haram, dan kadar pembiakan yang sangat rendah.

Hari ini, kata Ruppert, primat Malaysia dalam keadaan sama, menghadapi tekanan berterusan akibat penebangan hutan, pembangunan dan aktiviti pertanian yang menghapuskan habitat mereka.

“Jika isu ini tidak ditangani, populasi spesies primat di Malaysia, termasuk orangutan, ungka, monyet, dan lotong, mungkin terus menurun.

“Ini berpotensi membawa kepada kepupusan beberapa spesies dengan kadar pembiakan rendah, seperti orangutan dan ungka,” katanya.

Dr Nadine turut memberi amaran spesies yang sangat terancam seperti lotong cengkong Raffles, yang berbaki 300 ekor di Singapura, Johor, dan Pahang — mungkin menghadapi ancaman besar.

Penurunan populasi primat boleh menghilangkan biodiversiti yang lebih besar, memberi kesan kepada pelbagai spesies tumbuhan dan haiwan lain kerana peranan penting primat dalam ekosistem mereka.

Keseimbangan antara pembangunan dan pemuliharaan

Presiden Alam Semula Jadi Malaysia Anna Wong menyifatkan kesan kehilangan habitat akibat penebangan hutan dan pembangunan populasi hidupan liar sangat membimbangkan.

“Apabila habitat mereka digantikan dengan pembangunan, hidupan liar kehilangan rumah dan sumber makanan mereka, memaksa mereka berhijrah, kadangkala ke kawasan penempatan manusia,” katanya.

Beliau menekankan keperluan mendesak untuk strategi pemuliharaan yang berkesan, sambil menyeru perubahan polisi yang mengutamakan perlindungan habitat sambil memenuhi keperluan manusia.

Melindungi masa depan

Dr Nadine mencadangkan pemulihan habitat yang rosak dan penciptaan jambatan kanopi bagi memudahkan pergerakan primat secara selamat dan mengurangkan pertembungan dengan manusia.

“Perlindungan habitat adalah asas kepada semua usaha pemuliharaan. Tanpa habitat yang sesuai, hidupan liar tidak dapat berkembang,” katanya.