SHAH ALAM, 27 JAN: Sebuah ladang ternakan ayam pedaging diarah tutup selepas gagal menangani pencemaran bau tinja dari kawasan premis.
Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memaklumkan siasatan mendapati banyak longgokan tinja ayam dalam ladang yang dikeluarkan daripada enam reban ketika pengeluaran ayam pedaging dibuat.
Menurut MPHS sebelum arahan penutupan, pihaknya 10 Januari lalu mengeluarkan notis arahan kepada pemilik ladang supaya menghapuskan kacau ganggu pencemaran bau dalam tempoh tujuh hari.
“Pemilik dinasihatkan menguruskan longgokan tinja ayam dengan betul selaras peraturan yang berkuatkuasa.
“Pemantauan pada 25 Januari mendapati pemilik ladang gagal menghapuskan kacau ganggu pencemaran bau malah melanggar arahan penutupan dengan membawa masuk kira-kira 80,000 anak ayam baharu ke dalam reban.
“Kegagalan pemilik ladang mematuhi arahan menunjukkan sikap tidak cakna dalam menyelesaikan isu pencemaran bau dan kacau ganggu yang timbul sehingga menyebabkan orang awam membuat aduan kepada MPHS,” katanya menerusi Facebook.
MPHS turut mengingatkan kepada pemilik ladang penternakan ayam agar sentiasa mematuhi garis panduan pengurusan ladang ayam khususnya berkaitan pengurusan tinja.
“Ini penting bagi mengelakkan berlakunya pencemaran bau yang boleh menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk sekitar serta mengelakkan pencemaran alam sekitar khususnya sumber air,” katanya.