Oleh HAFIZAN TAIB
Israk dan Mikraj satu peristiwa agung dan mukjizat yang dianugerahkan Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Peristiwa ini tidak hanya menjadi tanda kebesaran Maha Esa, tetapi sarat pelbagai hikmah dan pengajaran yang relevan sepanjang zaman.
Satu inti pati penting daripada peristiwa tersebut ialah penerimaan perintah solat lima waktu yang menjadi tonggak dalam kehidupan seorang Muslim.
Apa itu Israk dan Mikraj? Israk bererti perjalanan Nabi SAW pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Palestin.
Manakala, Mikraj pula bermaksud Nabi ‘dinaikkan’ dari Masjidil Aqsa ke ‘Sidratul Muntaha’.
Baginda melepasi langit ketujuh pada sebahagian malam sahaja. Pelbagai hikmah daripada peristiwa yang dipertontonkan kepada kita sepanjang tempoh singkat itu.
Penolong Mufti Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Selangor Abdul Halem Hafiz Salihin menjelaskan, peristiwa Israk dan Mikraj ke atas Nabi Muhammad adalah kurniaan istimewa yang wajib diimani umat Islam.
Keistimewaan ibadah solat lima waktu, ujarnya, adalah bukti kasih sayang Allah dan jumlah ditetapkan itu mengikut kemampuan umat manusia.
“Solat itu lima dan tidak 50 waktu kerana Allah yang menjadikan kita dan Dia yang maha mengetahui segalanya. Kita menempuh pelbagai urusan dalam kehidupan seharian dan Allah menyusun sempurna waktu bagi menunaikan ibadah bermula Subuh hingga Isyak mengikut bilangan rakaat.
“Sesungguhnya perjalanan mengerjakan solat bersesuaian dengan keadaan diri kita sebagai hamba-Nya.
“Allah itu maha adil dan maha pengasih terhadap umat manusia,” katanya kepada Media Selangor pada 24 Januari.
Wahyu tanpa perantara
Dalam peristiwa Mikraj, Rasulullah SAW diperintahkan untuk menunaikan solat 50 waktu sehari semalam.
Ketika Baginda turun dari Sidratul Muntaha, Nabi Musa AS menasihati Baginda supaya memohon pengurangan kerana umat Baginda tidak akan mampu melaksanakannya.
Rasulullah SAW kemudian berulang kali naik menghadap Allah SWT untuk memohon pengurangan sehingga akhirnya kewajipan solat dikurangkan kepada lima waktu sehari semalam.
[caption id="attachment_621013" align="aligncenter" width="735"]
Ribuan jemaah menunaikan solat Jumaat terakhir tahun ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 29 Disember 2023. Foto Facebook BERNAMA[/caption]
Namun, Allah SWT menetapkan bahawa pahala solat lima waktu ini bersamaan dengan solat 50 waktu. Ibadah dilakukan setiap hari itu juga istimewa dan berkelebihan berbanding yang lain dan umat Islam yang sempurna akal wajib mengerjakannya.
“Ia diperintahkan Allah kepada Nabi Muhammad dan tidak perlu dipersoalkan. Istimewa solat ini ia turun pada malam Israk dan Mikraj.
“Ibadah lain seperti puasa, zakat, haji dan sebagainya walaupun wajib, tetapi tidak sehebat dan semulia solat malah tidak dilakukan setiap hari. Itulah kepentingan solat yang menjadi bekalan umat manusia di akhirat,” katanya lagi.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu tegasnya, anugerah terindah daripada Allah kepada Nabi Muhammad dalam menyebarkan Islam dan ia adalah berkaitan dengan hati iaitu akidah yang mampu memberi kekuatan kepada manusia.
Peristiwa tersebut berlaku di saat Baginda menempuh kesedihan dengan penuh sabar yang menguji keimanannya.
“Ia adalah akidah, ia menunjangkan hati, memberikan kekuatan. Bila Baginda menyebarkan Islam ada kalanya berdukacita tetapi bersabar, dengan sifat sabar itu Allah berikan kegembiraan dengan kurniakan Israk dan Mikraj yang mengubat hati dan menghindarkan daripada melakukan perkara bertentangan dengan Islam.
“Itulah yang menguatkan Nabi Muhammad dan umat Islam,” katanya.
Peristiwa dilalui Nabi Muhammad pada 27 Rejab, tahun ke-10 kerasulan Baginda bersamaan tahun 621M berlaku selepas kewafatan bapa saudaranya, Abu Talib dan isteri kesayangan, Saidatina Khadijah, di mana tahun itu dikenali sebagai Tahun Dukacita.


