PETALING JAYA, 26 JAN: Tujuh kakitangan awam negeri yang disiasat berhubung kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah kini dipindahkan ke jabatan lain.
Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk penggantungan tugas terhadap kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang terbabit.
“Sudah pasti kita tidak berkompromi. Saya minta mereka tidak berada di jabatan berkenaan. Kalau kita dapat nasihat penggantungan tugas sementara siasatan dan sebagainya, kita akan laksanakan.
“Saya percaya pihak berkuasa telah sampai waktu yang sangat penting iaitu detik akhir sebelum buat kesimpulan dan saya rasa ia tidak begitu lama untuk kita selesaikan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau ditemui selepas meninjau pematuhan penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina di pasar raya NSK Kota Damansara di sini, hari ini.
[caption id="attachment_683940" align="alignnone" width="886"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas meninjau pematuhan penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina di pasar raya NSK Kota Damansara, Petaling Jaya pada 26 Januari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Dalam pada itu, Amirudin tidak menolak kemungkinan isu penyelewengan tanah berlaku ketika peralihan pengurusan daripada sistem manual kepada pendigitalan.
Sehubungan itu, katanya, Selangor akan memperkemas dan mempertingkatkan tatacara keselamatan dalam sistem pengurusan tanah bagi mengelak masalah tersebut berulang.
“Kawalan keselamatan dan sistem kita harus diperkemas termasuk tatacara operasi piawai (SOP) serta protokol, semuanya perlu ditambah baik untuk elakkan berlaku lagi,” katanya.
Amirudin turut memberi peringatan tegas kepada semua pihak supaya menjalankan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi.
Menurutnya, rakyat kini semakin cakna dengan isu penyalahgunaan kuasa dan rasuah selain selari dengan hasrat Kerajaan Madani untuk terus meningkatkan usaha membangunkan negara.
“Saya mahu beri peringatan. Anda tidak akan terlepas kalau melakukan khianat. Kalau bebas kali pertama, pada masa depan mungkin akan terperangkap,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis membongkar kegiatan memindah milik tanah secara tidak sah membabitkan 'orang dalam' di sebuah PDT di Selangor.
Susulan itu, Bukit Aman menahan 17 individu termasuk tujuh kakitangan PDT Klang sejak September lalu kerana disyaki terbabit kartel berkenaan membabitkan tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta.