SHAH ALAM, 26 JAN: Seramai 3,000 wanita Selangor disasar menjalani Program Subsidi Ujian Mamogram dan Program Saringan Barah Pangkal Rahim (HPV DNA) tahun ini.
EXCO kesihatan awam berkata program inisiatif Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu ditawarkan secara percuma dan boleh didapati di klinik seliaan agensi tersebut.
Bagaimanapun jelas Jamaliah Jamaluddin, kesedaran untuk membuat saringan barah pangkal rahim dilihat masih rendah apabila hanya 107 orang menjalaninya di negeri ini setakat 24 Januari.
"Mungkin mereka takut atau bimbang dengan keputusan saringan itu. Namun, dengan langkah pencegahan, termasuk pemeriksaan berkala dan vaksinasi, penyakit ini boleh dicegah atau mampu dikesan lebih awal.
"Justeru, saya menyeru semua pihak untuk bersama menyokong usaha dalam meningkatkan kesedaran berhubung penyakit ini sekali gus menggalakkan wanita untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks (Barah Pangkal Rahim) 2025 peringkat Selangor di Hospital Pakar KPJ, Seksyen 20 di sini, hari ini.
[caption id="attachment_683957" align="alignnone" width="868"] EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin , Timbalan Pengerusi LPPKN Juwairiya Zulkifli dan Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Selangor, Azan Mukminah melawat ruang pameran program Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2025 di Hospital Pakar KPJ Selangor Shah Alam Selangor pada 26 Januari 2025 . Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR.[/caption]
Jamaliah berkata berdasarkan Laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2017-2021, menunjukkan 1 daripada 154 wanita berisiko mendapat barah pangkal rahim dengan majoriti adalah Melayu diikuti Cina dan India.
"Statistik ini menunjukkan perlunya sinergi antara pelbagai agensi di peringkat persekutuan dan negeri untuk bersama membantu menyediakan perkhidmatan sebaik mungkin kepada kumpulan sasar.
"Promosi dan advokasi perlu digembleng supaya wanita berani tampil ke hadapan untuk membuat pemeriksaan. Banyak kemudahan disediakan, tiada alasan untuk tidak mengambil peluang itu," katanya.