ad
AGENDA

Peranan etnosains acuan tempatan perkukuh kerangka Malaysia Madani

26 Jan 2025, 6:08 AM
Peranan etnosains acuan tempatan perkukuh kerangka Malaysia Madani
Peranan etnosains acuan tempatan perkukuh kerangka Malaysia Madani

HULU LANGAT, 26 JAN: Pendekatan etnosains iaitu kesinambungan ilmu tradisi dan sains moden mampu memperkukuh pelaksanaan kerangka Madani berteras keseimbangan, keterangkuman dan kemampanan.

Felo Akademi Sains Malaysia Prof Emeritus Dr Shaharir Mohamad Zain berkata, etnosains berteraskan acuan dan kearifan tempatan, bukan saja memelihara warisan budaya dan memperkukuh identiti nasional tetapi menyumbang kepada pembangunan mampan.

“Etnosains adalah sains yang dibangunkan oleh sesuatu kaum, etnik atau kumpulan kaum dalam satu bahasa yang membentuk korpus ilmu dan menjadi tunjang keterlestarian sesebuah tamadun yang terbina yang mana etnosains yang dibicarakan di sini ialah sains dalam bahasa Malayu.

“Etnosains memberi dasar konkrit berasaskan kepada sains yang mana dalam konteks ini diambil daripada kebudayaan Melayu (dan tempatan) untuk merealisasikan enam rukun Madani.

“Ini akhirnya akan menyumbang kearifan dalam budaya kita sendiri, yang sudah sedia ada atau baru hendak dicipta berdasarkan kepada kebudayaan tempatan sekali gus ia boleh melindungi dan memperkaya kebudayaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pembentangan tajuk Peranan Etnosains Dalam Pelaksanaan Kerajaan Madani pada Sesi Wacana Malaysia Madani, Asean dan Brics Siri 1/2025 di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor di sini, semalam.

[caption id="attachment_683935" align="alignnone" width="844"] Felo Akademi Sains Malaysia Prof Emeritus Dr Shaharir Mohamad Zain bercakap ketika Wacana Malaysia Madani, ASEAN & BRICS Siri 1/2025 di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Kajang pada 25 Januari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Shaharir menambah selari aspirasi Malaysia Madani membentuk masyarakat maju, berdaya saing dan kaya dengan nilai tradisi yang seimbang dengan kemajuan moden, ahli akademik dilihat sebagai pihak paling berpotensi untuk memberikan sumbangan besar memperkukuh dan menjelaskan pelaksanaan rukun kerangka Madani.

“Penglibatan ahli akademik diperlukan untuk memperjelaskan maksud sebenar setiap rukun Madani. Contohnya, dalam aspek kemampanan, unsur-unsur kearifan tempatan mesti diterapkan dengan konsep terbaik yang sesuai dengan acuan tempatan, bukan hanya bergantung kepada pendekatan Barat seperti konsep optimum,” katanya.

Beliau turut menyarankan Kerajaan menubuhkan pasukan khusus melibatkan ahli akademik dan pakar bidang yang memfokuskan setiap rukun Madani secara terperinci.

“Madani mesti menawarkan sesuatu yang baharu, meskipun konsep asasnya telah lama wujud. Contohnya, kesejahteraan perlu ada dasar baharu dan bukan sekadar disamakan dengan konsep Islam tanpa asas pelaksanaan yang jelas.

“Ahli akademik diharapkan dapat memainkan peranan lebih aktif dalam mencipta kerangka dasar yang berlandaskan etnosains untuk memastikan aspirasi Kerajaan Madani dapat direalisasikan dengan lebih berkesan,” katanya.

Malaysia Madani adalah kerangka dasar yang terdiri daripada enam tonggak iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Agenda dasar kerangka Madani bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan memenuhi keperluan semasa negara, tetapi turut menyentuh mengenai pencorakan masa depan serta memenuhi potensi rakyat dan negara.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.