KUALA LUMPUR, 26 JAN: Lapan penuntut Malaysia di Universiti Al-Azhar, Mesir terbabit kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan rehlah ke Port Said dan kini dirawat di hospital.
Education Malaysia Egypt (EME) berkata, lima penuntut mengalami luka ringan dan dirawat pesakit luar.
Menurut EME, tiga penuntut yang dirawat dalam wad selamat dibawa ke hospital Sayed Galal di Kaherah untuk rawatan lanjut.
Katanya, insiden itu mendapat perhatian pihak Universiti Al-Azhar yang menghantar pegawai dari Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab (Mahasiswi) kampus Port Said untuk membantu rawatan seterusnya memudah cara pengurusan bersama pihak hospital.
"Selain itu, Setiausaha Pertama (Pendidikan) EME, Ahmad Salehuddin Shafie dan Muhammad Nazirul Mubin Abdul Rahman, turut bergegas ke Hospital As Salam Port Said untuk melihat sendiri keadaan penuntut berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.
Sehubungan itu, EME menasihatkan penuntut sentiasa berhati-hati dan waspada dalam menjalankan aktiviti.