SHAH ALAM, 25 JAN: Penganjuran program Perkampungan Kebudayaan Selangor 2025 mampu memberi maklumat baharu mengenai latar budaya masyarakat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pengetahuan identiti ras mampu meningkatkan lagi kefahaman sekali gus meneruskan kelangsungan kejayaan.
“Penganjuran program ini bukan sekadar memenuhi takwim atau waktu cuti sekolah, tetapi memberi penjelasan siapakah diri kita dan bagaimana kita mahu teruskan kejayaan.
“Ia juga mampu menjadi ikatan yang kuat untuk kita yakin dan membuka diri kita selain mengambil semua nilai positif budaya,” katanya ketika melancarkan karnival berkenaan, malam ini.
[caption id="attachment_683849" align="alignnone" width="818"]
Persembahan kebudayaan ketika majlis perasmian Perkampungan Kebudayaan Selangor 2025 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 25 Januari 2025.Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Program yang diadakan di Dataran Kemerdekaan di sini, turut dihadiri EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah dan barisan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Amirudin menambah, Kerajaan Negeri berhasrat menganjur Selangor Arts and Cultural Festival (SACF) 2025 yang akan merangkumkan pelbagai pesta kebudayaan bagi terus memperkasa seni warisan di Selangor.
Malah, katanya, SACF akan memberi nilai tambah ekonomi kepada penggiat seni dan budaya tempatan selain menyokong aktiviti pelancongan sempena Tahun Melawat Selangor 2025.
“SACF 2025 akan menampilkan Temasya Seni Budaya dan Warisan Negeri Selangor, Festival Makanan Warisan, Pesta Rentak dan Festival Wau Kapal bagi meraikan kepelbagaian budaya di Selangor,” katanya.
[caption id="attachment_683850" align="alignnone" width="862"]
Walaupun cuaca hujan tidak menghalang orang ramai mengunjungi Pasar Saloma sempena program Perkampungan Kebudayaan Selangor di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 25 Januari 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Perkampungan Kebudayaan Selangor 2025 yang bermula 23 Januari hingga esok (26 Januari) menampilkan pelbagai pengisian antaranya persembahan kebudayaan, jualan kraftangan dan reruai makanan di Pasar Saloma.
Karnival julung kali tersebut turut diserikan dengan pertandingan permainan tradisional seperti gasing pangkah, tali getah, dam gergasi, congkak, batu seremban dan lastik.


