ad
AGENDA

Pakar saran isu kesihatan mental ditangani ikut acuan tempatan

25 Jan 2025, 12:25 PM
Pakar saran isu kesihatan mental ditangani ikut acuan tempatan
Pakar saran isu kesihatan mental ditangani ikut acuan tempatan

HULU LANGAT, 25 JAN: Isu kesihatan mental di rantau ini perlu diteliti lebih serius terutama dalam menangani jurang pengetahuan yang menjadi cabaran utama.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran Malaysia (PPFPM) berkata data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2020 mendapati Asia Tenggara mencatat kekurangan data terperinci mengenai kesihatan mental.

“Hal ini menunjukkan dua kemungkinan sama ada isu kesihatan mental di Asean tiada atau terlalu serius sehingga tiada pihak mampu mengumpulkan data komprehensif untuk dimajukan kepada WHO.

“Penglibatan ahli akademik amat penting untuk menangani jurang pengetahuan ini kerana menurut laporan Youth Leadership 2022, jurang pengetahuan merupakan masalah utama kesihatan mental di Asia,” kata Mohd Rashidi Radzali.

Beliau membentangkan tajuk Kesihatan Mental di Asean ketika Wacana Malaysia Madani, Asean dan Brics Siri 1/2025 di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor di sini, hari ini.

[caption id="attachment_683830" align="alignnone" width="760"] Ahli Jawatankuasa Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran Malaysia (PPFPM) Mohd Rashidi Radzali ketika Wacana Malaysia Madani, ASEAN & BRICS Siri 1/2025 di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Kajang pada 25 Januari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Menurutnya, sebahagian besar garis panduan dan terapi berkaitan kesihatan mental yang digunakan di Asia diambil daripada idea barat tanpa menyesuaikannya dengan konteks budaya tempatan.

Tambah beliau, Asean memerlukan garis panduan baharu berkaitan isu kesihatan mental yang berasaskan budaya tempatan.

Mengambil contoh dalam konteks Malaysia, kata Mohd Rashidi, kejadian seperti histeria lebih berkait rapat dengan kepercayaan budaya dan kolektivisme, berbanding dengan definisi ‘anxiety’ di Barat.

“Kajian tentang kearifan tempatan perlu diperluaskan untuk memahami bagaimana masyarakat Asia menangani isu kesihatan mental dalam konteks budaya mereka.

“Kerjasama serantau penting untuk menangani isu ini di peringkat Asean, namun kajian di peringkat tempatan juga perlu diberi keutamaan.

“Kajian terhadap karya lama, seperti undang-undang, politik atau budaya mungkin dapat memberikan pandangan tentang bagaimana masyarakat dahulu menangani isu kesihatan mental. Walaupun tiada kitab khusus, elemen kesihatan mental mungkin tersembunyi dalam karya-karya ini,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.