ad
AGENSI

Jais guna kaedah pemprofilan pantau, interaksi dengan anak GISBH

24 Jan 2025, 9:00 AM
Jais guna kaedah pemprofilan pantau, interaksi dengan anak GISBH

SHAH ALAM, 24 JAN: Kanak-kanak yang diselamatkan dari premis GISB Holding (GISBH) dan dipulangkan ke pangkuan keluarga terus dipantau oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) secara pemprofilan.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad memberitahu menerusi kaedah itu, pergerakan kanak-kanak berkenaan dapat dipantau selain membolehkan kumpulan pemantau berinteraksi dengan mereka.

“Ini memudahkan kita mengetahui lokasi dan berintegrasi dengan mereka termasuk bersama kumpulan yang bertanggungjawab untuk membimbing dan memulihkan mereka.

"Selagi ada pemprofilan, kita tahu kedudukan dan mereka sentiasa dalam radar kita. Lagipun jelas kita mahu pastikan wujud integrasi dan menggerakan segala usaha supaya mereka boleh duduk dalam arus perdana,” katanya ketika ditemui Media Selangor selepas majlis perasmian Menara Zakat Sultan Idris Shah di sini, semalam.

Sebelum ini, EXCO kebajikan masyarakat berkata seramai 41 kanak-kanak yang diselamatkan dari premis (GISBH) tahun lalu, dipulangkan ke pangkuan keluarga masing-masing setakat semalam.

Menurut Anfaal Saari, arahan berkenaan dikeluarkan Mahkamah Majistret Shah Alam atas cadangan perlindungan kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu Mohd Shahzihan berkata kira-kira 60 individu tampil secara sukarela bagi mengikut proses rehabiltasi pemulihan yang dikendalikan Majlis Agama Islam Selangor.

"Untuk permulaan mereka diletakkan di satu tempat khusus namun kelangsungan rehabiltasi harus berlaku dan mereka dibenarkan tinggal bersama masyarakat.

"Modulnya telah ada dan hanya tunggu dilaksanakan sahaja. Rehabiltasi boleh berlaku di masjid, di surau serta dalam sistem sekolah termasuk sekolah agama Jais,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.