ad
EXCO

Kerajaan cadang tiga tapak baharu, bantu penternak lembu

23 Jan 2025, 5:47 AM
Kerajaan cadang tiga tapak baharu, bantu penternak lembu

SHAH ALAM, 23 JAN: Kerajaan Negeri mengambil pendekatan situasi menang-menang dalam menyelesaikan isu penternak lembu di Ladang SD Guthrie, Sabak Bernam dekat sini dengan mencadangkan tiga tapak tanah baharu.

EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail berkata penyelesaian itu sebahagian usaha membantu penternak yang menerima notis daripada syarikat terbabit agar dapat meneruskan aktiviti penternakan.

“Tapak yang dicadangkan adalah tanah warta Jabatan Veterinar Sabak Bernam di Beting Kepah, Sungai Apong, tanah milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Mukim Sungai Panjang atau tanah warta pentadbir Sabak Bernam di Pekan Bagan Terap.

“Penternakan yang dibenarkan di tapak ini hendaklah dijalankan secara feedlot dan mematuhi syarat ditetapkan. Kerajaan Negeri komited dalam memastikan kesejahteraan semua pihak termasuk penternak lembu, syarikat ladang serta menjamin keselamatan awam,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, dengan pendekatan diambil, penyelesaian yang dicapai bukan sahaja adil tetapi berlandaskan empati terhadap cabaran yang dihadapi semua pihak.

Disember lalu, Rizam dalam sidang media memaklumkan semua penternak yang melepaskan lembu di Ladang SD Guthrie, Sabak Bernam diarah memindahkan ternakan mereka ke kawasan lebih selamat selewat-lewatnya 31 Januari ini.

Katanya, arahan memindahkan lebih 1,000 ekor lembu itu berikutan ternakan berkenaan memberi ancaman keselamatan sehingga meragut nyawa pengguna jalan raya.

Jelas beliau, pihaknya menerima banyak laporan daripada orang ramai berkaitan isu lembu berkeliaran sehingga berlakunya insiden kehilangan nyawa selain memasuki kawasan Hospital Tengku Ampuan Jemaah di Sabak Bernam.

“Perbincangan diadakan bersama pemilik ladang dan mereka mengatakan tiada polisi membenarkan ternakan dalam ladang. Susulan itu, kita arahkan mereka maklumkan kepada penternak pindahkan semua ternakan ke lokasi lebih selamat,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.