ad
AGENDA

Menteri: KPM sedia khidmat kaunseling kepada anak lelaki OKU dipukul

22 Jan 2025, 4:47 AM
Menteri: KPM sedia khidmat kaunseling kepada anak lelaki OKU dipukul

KUALA NERUS, 22 JAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia menyalurkan khidmat kaunseling kepada anak lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang dipukul di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai dekat Kemaman, Jumaat lalu, pada bila-bila masa.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata pihaknya sudah berhubung dengan keluarga Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, dan dimaklumkan keadaan kanak-kanak berusia 10 dan empat tahun yang masih bersekolah itu dalam keadaan baik.

Beliau berkata dengan kewujudan kaunselor di setiap sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), maka tiada masalah untuk KPM memberikan komitmen itu dan beliau juga sudah meminta penilaian psikosial dijalankan terhadap murid berkenaan.

“Kita sudah pun dapatkan maklumat melalui JPNT dan PPD, maknanya dalam kes itu ada keperluan untuk menghantar pegawai kaunselor untuk tangani isu itu...bagaimana anak-anak menghadapi isu berkenaan.

“Jadi, sangat penting bagi saya ketika ini...iaitu kita sebagai komuniti ambil kira dan mengambil perhatian penuh kes ini, kerana ia juga melibatkan satu segmen anak-anak kita yang sangat penting dalam masyarakat,” katanya selepas hadir Majlis Ramah Mesra bersama Warga Institut Pendidikan Guru, Kampus Dato' Razali Ismail, di sini hari ini.

Sementara itu, Fadhlina berkata kejadian yang turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu, sebenarnya memberi hikmah untuk rakyat meningkatkan keprihatinan terhadap segmen masyarakat.

“...khususnya berikan lebih advokasi dan kesedaran kepada masyarakat lain untuk bersikap empati dan ambil berat tentang golongan OKU dalam komuniti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulangi komitmen KPM dalam menyediakan pendidikan inklusif untuk murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK), bagi memastikan golongan itu tidak terpinggir dalam masyarakat.

Fadhlina berkata KPM yang mengambil berat aspek infrastruktur di sekolah keperluan khas, menetapkan sasaran 100 peratus sekolah yang mempunyai MBPK dilengkapi kemudahan mesra OKU pada 2030, melalui Pelan Hala Tuju Pendidikan Bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (PHTMBPK) 2020-2025.

Sehingga tahun lalu, 2,405 sekolah MBPK daripada keseluruhan 7,147 sekolah sudah dilengkapi kemudahan mesra OKU seperti susur landai, susur tangan, tandas serta parkir OKU.

“Malah, Pusat Permata Autisme juga akan dibina di Terengganu. Itu komitmen besar kita dalam konteks nak pastikan anak-anak ini tidak terpinggir. Nasihat saya, ahli masyarakat juga kena ambil perhatian dalam kes murid berhadapan isu keperluan khas. Kena lebih cakna dalam hal ini,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.