BERITA UTAMA

Beto murung hayati watak pejuang, menyendiri berbulan-bulan

22 Jan 2025, 1:30 AM
Beto murung hayati watak pejuang, menyendiri berbulan-bulan
Beto murung hayati watak pejuang, menyendiri berbulan-bulan

Oleh Intan Syuhada Akhir

Sepanjang terlibat dalam industri lakonan sejak 1998, tiada naskhah yang terlalu sukar untuk dijayakan pelakon Beto Kusyairy.

Namun begitu, jiwa dan kemahirannya sebagai anak seni teruji ketika membintangi sebuah projek pada 2008 yang menyebabkannya mengalami kemurungan hingga berbulan-bulan.

Bercerita mengenai itu, Beto atau nama sebenarnya Nur Kusyairy Zakuan Osman, 44, menyifatkan pengalaman menghidupkan watak tokoh nasionalis Sarawak, Rosli Dhobi dalam drama Warkah Terakhir sebagai perkara yang paling ‘mengganggu’.

Walaupun penggambaran tamat dan drama ditayangkan pada 2009, watak pejuang kemerdekaan Sarawak itu seolah-olah hidup di dalamnya menyebabkan Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-33 itu mula mempersoal kewujudan diri.

“Semasa awal-awal bergelar pelakon dahulu, saya akui agak sukar kawal serta hilangkan watak yang saya sarungkan. Suatu masa dulu, saya pernah hadapi kemurungan kerana tidak boleh keluarkan watak Rosli Dhobi. Watak itu macam lekat dalam diri saya.

“Berbulan-bulan saya menyendiri, tidak mahu bercakap dengan sesiapa. Saya bersyukur kerana ketika itu isteri menjadi tulang belakang yang banyak membantu,” katanya ketika ditemui Media Selangor di Petaling Jaya baru-baru ini.

Ketika ditanya apakah yang membuatkan pelakon Imaginur itu berasakan demikian, Beto sempat diam, mengambil nafas.

“Watak itu nyata, bukan karakter yang dicipta. Ia tentang pejuang Sarawak yang ketika itu berusia 16 tahun. Bayangkan pada usia semuda itu beliau sudah memikirkan nasib anak cicit dan negara jauh ke hadapan.

“Saya bandingkan dengan diri saya pada umur itu yang masih sibuk bergembira tidak fikir langsung tentang masa depan. Benda itu sangat mengganggu.

“Tambahan pula, saya dapat segala informasi mengenai beliau secara langsung daripada keluarga terdekat seperti sepupu dan anak buah. Saya simpan banyak cerita mengenai beliau.

"Pendek kata, saya lebih rasa penyesalan dan tertekan kerana ketika usia muda saya tidak begitu,” tambahnya.

Siri komedi

Khuatir dengan keadaan pelakon itu yang tiba-tiba mengurung diri, pasukan produksi iaitu KL Motion Pictures kemudian berbincang dan mencari solusi terbaik membantu Beto.

Selepas beberapa sesi mesyuarat, mereka akhirnya memutuskan untuk menghasilkan sebuah siri komedi.

“Saya dimaklumkan pihak produksi kemudian buatkan satu drama kelakar dan santai untuk saya ‘buang’ Rosli Dhobi, cuma saya tidak ingat apa nama drama itu.

“Memang karakter saya lawak, mereka mahu saya keluarkan watak itu dan memang ia berjaya. Selain itu, saya banyak berguru dengan pelakon lebih senior bagaimana untuk tidak bawa balik watak yang kita lakonkan.

“Berlakon memang kerja sukar tapi penonton hanya tahu apa yang mereka lihat di kaca televisyen dan rasa macam semua orang boleh buat,” jelasnya.

Pengalaman hampir tiga dekad menjadi anak wayang mengukuhkan jenama Beto Kusyairy dalam industri lakonan sehingga ada menganggap lakonan anak jati Kuala Lumpur itu wajib tonton.

Beto hanya ketawa mendengar komen itu dan menegaskan dia tidak pernah mengejar sebarang trofi.

Maka tidak hairanlah jika Beto lebih memilih menyelesaikan jadual penggambaran filem Gayong yang bertindih dengan majlis anugerah Festival Filem ke-33 pada 7 Disember lalu.

“Untuk menjadi pelakon, kita kena ada disiplin lakonan. Ia bukan hanya setakat hafal skrip dan hadir ke set tepat waktu. Tapi kena faham apa yang mahu sampaikan, roh karakter dan visi pengarah. Ia melibatkan kemahiran dan pengalaman.

“Berlakon sama sahaja dengan kerja profesional lain seperti peguam atau doktor yang memerlukan kemahiran.

“Sepanjang menjadi pelakon, ada juga projek yang menyesal saya lakonkan tapi mari kita jangan bercakap mengenai itu.

"Cuma cukuplah perjalanan itu yang membawa saya ke hari ini, di mana saya berada,” katanya.