Oleh Dewi Abdul Rahman
SHAH ALAM, 18 JAN: Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan perjanjian gencatan senjata di Gaza berjaya, menurut penganalisis politik, Prof Azmi Hassan.
Azmi berkata Malaysia tidak sendirian, sebaliknya kejayaan itu dicapai dengan sokongan padu dari negara besar seperti Rusia dan China.
Tegas beliau, peranan Malaysia kini adalah bagi menentukan fasa pertama perjanjian itu berjalan dengan lancar.
"Paling menarik adalah dalam kenyataan yang dikeluarkan pihak Hamas melalui ketua biru politiknya, Halil Hayal menyebut secara spesifik negara berperanan hingga tercapai persetujuan gencatan senjata ini.
"Negara ini nyatakan di sebelah Asean adalah Indonesia dan juga Malaysia begitu juga dengan kuasa-kuasa besar seperti Rusia dan juga China.
"Peranan Malaysia adalah bagi menentukan fasa pertama itu berjalan dengan lancar kerana banyak tipu muslihat daripada pihak Netanyahu, pihak Israel umpamanya, " ujarnya ketika dihubungi Media Selangor.
Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar Mohammed bin Abdulrahman Rabu lalu mengumumkan kejayaan pengantara mencapai perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza, dengan pelaksanaannya dijadual bermula Ahad ini.
Fasa pertama perjanjian itu akan berlangsung selama 42 hari dan melibatkan pembebasan 33 tahanan Israel sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin yang tidak dinyatakan.


