AGENDA

Gencatan senjata Gaza zahir reaksi positif pemimpin, individu

16 Jan 2025, 7:32 AM
Gencatan senjata Gaza zahir reaksi positif pemimpin, individu

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Pengumuman perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas menimbulkan keyakinan berhati-hati dan penuh harapan ketika pemimpin dunia dan tokoh awam mengiktiraf kepentingannya sambil menggesa kewaspadaan dan usaha berterusan untuk keamanan yang berkekalan.

Gencatan senjata yang dijadualkan bermula Ahad ini diumumkan petang semalam oleh Perdana Menteri Qatar Mohammed bin Abdulrahman. Gencatan senjata itu bertujuan menghentikan konflik yang berlangsung selama 15 bulan dan difasilitasi oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS), dengan tempoh gencatan awal 42 hari.

The Times, sebuah akhbar harian dari Britain, melaporkan bahawa pemimpin global menyatakan harapan mereka agar gencatan senjata ini membawa kepada keamanan kekal, dengan ramai menyeru agar bantuan kemanusiaan diberikan dan memberi tumpuan kepada penyelesaian dua negara.

Presiden AS Joe Biden, mengalu-alukan gencatan senjata itu, menyifatkan rundingan tersebut sebagai antara paling mencabar pernah dialaminya, menurut Reuters.

Dalam satu kenyataan di Rumah Putih, Biden juga menekankan implikasi perjanjian yang lebih luas, dengan berkata: "Bagi rakyat Palestin, sebuah jalan yang kukuh dan boleh dipercayai menuju kepada kewujudan negara sendiri. Dan bagi rantau ini, masa depan normalisasi, integrasi Israel dan semua jiran Arabnya, termasuk Arab Saudi."

Sementara itu, Presiden terpilih AS Donald Trump, dalam satu ciapan di platform Truth Socialnya, berkata: "Kami mempunyai perjanjian untuk tebusan di Timur Tengah. Mereka akan dibebaskan tidak lama lagi. Terima kasih!".

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, turut mengalu-alukan perjanjian itu.

"PBB sedia menyokong pelaksanaan perjanjian ini dan meningkatkan penyampaian bantuan kemanusiaan yang berterusan kepada ramai rakyat Palestin yang terus menderita.

"Gencatan senjata ini mesti menghapuskan halangan keselamatan dan politik yang ketara untuk menyampaikan bantuan di seluruh Gaza agar kita dapat menyokong peningkatan besar dalam sokongan kemanusiaan menyelamatkan nyawa segera," kata Guterres menurut Reuters.

Agensi Anadolu (AA) yang berpangkalan di Ankara melaporkan bahawa bekas pemain bola sepak antarabangsa Jerman, Mesut Ozil, menggambarkan perjanjian gencatan senjata ini sebagai "sinar harapan untuk rantau itu."

Dalam satu ciapan di akaun Xnya, Ozil menyatakan harapan agar perjanjian itu memberi manfaat kepada rakyat Palestin dan membuka jalan bagi keamanan kekal, sambil mengenang invididu yang terkorban dan berdoa untuk pemulihan mereka yang cedera.

Al Arabiya English melaporkan bahawa pelbagai pemimpin dunia memberi reaksi terhadap perjanjian gencatan senjata dan tebusan itu, menyatakan harapan untuk penyelesaian kekal bagi konflik tersebut.

Al Jazeera menyatakan perjanjian ini turut merangkumi bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan untuk rakyat Gaza berikutan serangan berterusan Israel selama berminggu-minggu.

Walaupun komuniti antarabangsa melihat perkembangan ini sebagai langkah positif ke arah keamanan, situasi masih rapuh, dengan kejayaan pelaksanaan perjanjian ini menjadi kunci untuk kestabilan yang berterusan di rantau itu.

- BERNAMA