KUALA SELANGOR, 11 JAN: Program Pembangunan Tanaman Bawang yang dianjurkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan pengurangan 30 peratus import bahan makanan asas itu menjelang 2030.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerajaan memperuntukkan RM902.5 juta untuk mengimport 484,867 tan metrik bawang untuk memenuhi permintaan pengguna pada 2021.
Menurutnya, insiatif itu bertujuan meningkatkan pengeluaran bawang tempatan melalui pelbagai strategi dan sokongan kepada petani.
“Krisis bekalan bawang bermula pada 2020 akibat bencana bah di India. Keadaan ini menyebabkan kenaikan harga di pasaran lebih 30 peratus.
[caption id="attachment_681589" align="aligncenter" width="958"] Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pada sidang media ketika Lawatan Projek Tanaman Bawang Rose Ehsan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Selangor Fruit Valley, Rawang pada 11 Januari 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Malaysia menjadi antara pengimport utama bawang di dunia. Oleh itu, program dilaksana secara berfasa bermula tahun lalu hingga 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis lawatan ke projek Tanaman Bawang Rose Ehsan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Selangor Fruit Valley (SFV), Rawang di sini, hari ini.
Mohamad Sabu menambah KPKM merancang memperkenalkan insentif tambahan untuk memperkukuh infrastruktur pertanian yang membabitkan kemudahan pengairan, jalan ladang dan kemudahan penyimpanan untuk menyokong pengeluaran bawang.
“Selain itu, program sebagai persediaan menghadapi cabaran seperti perubahan iklim, serangan penyakit dan persaingan bawang import lebih murah,” jelasnya.
[caption id="attachment_681590" align="aligncenter" width="1122"] Pekerja ladang membuang rumput liar di sekitar ladang bawang Rose di Selangor Fruit Valley, Rawang pada 11 Januari 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]