BERITA UTAMA

Asas perundangan Islam era Madinah bawa keadilan sosial masyarakat

10 Jan 2025, 2:02 AM
Asas perundangan Islam era Madinah bawa keadilan sosial masyarakat

Hijrah merupakan titik pemisah antara dua era dalam sejarah Islam. Akidah Islam telah mantap dalam jiwa segelintir kaum Muhajirin dan kalangan Ansar pula yang telah berbai'ah dengan nabi. Ini membentuk asas pertama masyarakat Islam yang menetap di Madinah. Maka, dakwah memasuki fasa baru yang lebih teratur dan praktikal. Perundangan mula diberi tumpuan demi pembinaan umat serta penetapan hubungan sosial.

Langkah pertama yang diambil oleh Rasulullah SAW dalam membina masyarakat baru ini adalah mempersaudara antara Muhajirin dan Ansar. Para Ansar lebih mengutamakan saudara Muhajirin berbanding diri sendiri.

Firman Allah: "Dan orang-orang (Ansar) yang telah mendiami negeri (Madinah) dan beriman sebelum mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang-orang yang berhijrah kepada mereka, dan mereka tidak merasa iri hati terhadap apa yang diberikan kepada (Muhajirin). Mereka juga mengutamakan (Muhajirin) lebih daripada diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam kesusahan." (Surah Al-Hashr: 9)

Madinah Selepas Hijrah

Selepas hijrah, Madinah yang asal namanya adalah Yathrib menjadi tempat tinggal bagi pelbagai golongan antaranya:

  • Kaum Muhajirin iaitu kalangan yang berhijrah dari Makkah, meninggalkan keluarga dan kaum kerabat mereka yang masih musyrik.
  • Kaum Ansar iaitu penduduk Madinah dari suku Aus dan Khazraj yang berbai'ah kepada Rasulullah, memberi perlindungan, dan membantu baginda. Walaupun begitu, kedua-dua suku ini memiliki sejarah panjang peperangan dahsyat yang meninggalkan luka mendalam di jiwa mereka.
  • Golongan munafik iaitu sekumpulan individu yang secara zahir menerima Islam kerana tunduk kepada pengaruh agama Islam tetapi menyembunyikan kekufuran dan permusuhan terhadap Islam dalam hati mereka.
  • Kaum Yahudi. Mereka lama menetap di Yathrib (Madinah) dan membaca kitab-kitab suci yang mengandungi berita gembira tentang kedatangan Nabi Muhammad. Namun, setelah baginda diutus, mereka enggan beriman kerana ingin mengekalkan pengaruh agama mereka dan merasa angkuh di muka bumi. Berkenaan mereka, Al-Quran menyatakan: "Maka tatkala datang kepada mereka apa yang telah mereka kenal, mereka pun kufur kepadanya." (Surah Al-Baqarah: 89)

Pendekatan Perundangan Madinah

Perundangan di Madinah berusaha menangani pelbagai elemen masyarakat sesuai keperluan mereka.

  • Pengukuhan ikatan akidah Akidah menjadi asas utama hubungan dalam masyarakat Islam, menggantikan hubungan berdasarkan darah yang menjadi amalan dalam kehidupan kabilah. Ikatan ini menyatukan Muhajirin dan Ansar.
  • Larangan terhadap asabiyyah (fanatisme etnik).

Rasulullah SAW memberi amaran keras terhadap sikap asabiyyah dan menganggapnya sebagai amalan jahiliah. Baginda bersabda: "Bukan dari kalangan kami orang yang menyeru kepada asabiyyah, bukan dari kalangan kami orang yang mati atas asabiyyah, dan bukan dari kalangan kami orang yang berperang kerana asabiyyah."

Dalam pernyataan tegas, baginda pernah menyebut: "Tinggalkan asabiyyah itu kerana ia sesuatu yang busuk."

Ringkasan perundangan Islam di Madinah:

  • Perundangan perdagangan dan ekonomi: Halal jual beli, haram riba, serta peraturan berkaitan pinjaman termasuk kontrak atau saksi dan ketentuan dalam pembayaran atau penangguhan. Islam mendorong perdagangan yang adil dan melarang penipuan atau makan harta orang lain dengan cara batil.
  • Perundangan keluarga: Menentukan hak dan kewajiban dalam perkahwinan, hubungan suami isteri, perceraian, warisan, dan wasiat.
  • Perundangan perang: Mengatur keharusan berjihad dan hal terkaitan seperti perjanjian, ghanimah (harta rampasan perang) dan tawanan perang.
  • Hukuman dan perlindungan hak: Menetapkan hukuman untuk jenayah berat (seperti qisas dan hudud) untuk melindungi lima hak asasi yang penting iaitu menjaga agama, melindungi nyawa, menjaga harta, melindungi keturunan dan memelihara akal.

Semua ini diatur berdasarkan peradilan dan keadilan sosial dengan menghukum secara adil dan berdasarkan hukum Allah: "Dan hendaklah engkau memutuskan perkara antara mereka menurut apa yang diturunkan oleh Allah..." (Surah Al-Maidah: 49).

Kesimpulannya, perundangan Islam di Madinah meletakkan asas kehidupan umat dalam pelbagai aspek termasuk hubungan sosial dan kuasa politik. Islam menjadi agama yang merangkumi akidah dan syariat serta sistem kehidupan yang menyeluruh. Nabi Muhammad berperanan sebagai pengasas negara dan melalui agama ini, Allah menyempurnakan agama dan menyempurnakan nikmat-Nya.