SHAH ALAM, 9 JAN: Sebanyak 90 plot kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang selesai dialihkan hari ini bagi memberi laluan kepada jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata kerja mulai 6 Januari mengambil masa selama empat hari, yang dilaksanakan menerusi Pelan Tindakan Pengalihan Tapak Perkuburan Islam.
Menurut Dato' Mohd Shahzihan Ahmad, proses itu turut dipantau Jabatan Mufti Selangor dan polis mengikut pelan disediakan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Malaysia Rail Link (MRL).
"Sepanjang proses pengalihan kubur dijalankan, waris dan orang awam dilarang mendekati kawasan (itu) bagi memastikan langkah kesihatan, keselamatan dan kelancaran kerja di lapangan," katanya.
[caption id="attachment_678643" align="alignleft" width="449"] Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad bercakap kepada media selepas Festival Al-Barzanji dan Marhaban sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 5 Oktober 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Dalam pada itu, jelasnya, pemakluman awam untuk waris mengecam plot kubur ahli keluarga dibuat sebelum 5 Januari, manakala kerja pengalihan dibuat dalam tempoh empat hari sehingga hari ini.
Mohd Shahzihan menambah pengumuman dibuat di semua masjid dan surau kebenaran solat Jumaat di negeri ini selama tiga kali berturut-turut pada 20 dan 27 Disember 2024 serta 3 Januari 2025.
Beliau berkata Majlis Bandaraya Diraja Klang turut membuat hebahan awam melalui Facebook, manakala MRL mengadakan pemakluman hebahan awam melalui laman sesawang dan papan tanda di tapak.
"Jais bersyukur dan berterima kasih kepada semua agensi terlibat dan waris dalam memastikan pengalihan 90 plot kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang dapat disempurnakan dengan lancar.
"Jais juga akan mengadakan majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa untuk jenazah terlibat dalam pengalihan kubur dalam tempoh terdekat dan semua waris akan dimaklumkan," katanya lagi.
Selasa lalu, Mohd Shahzihan menjelaskan proses pemindahan kubur di kawasan itu mematuhi fatwa dan tidak melanggar hukum serta dimaklumkan menerusi pelbagai platform termasuk masjid.