SHAH ALAM, 9 JAN: Selangor kesal terhadap insiden kematian bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Bandar Saujana Putra, minggu lalu.
Berikutan itu, EXCO kebajikan masyarakat menggesa siasatan menyeluruh dibuat, termasuk meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat laporan jika terdapat unsur jenayah.
“Saya kesal perkara ini berlaku, tetapi sekiranya ada unsur (jenayah) dan sebagainya, kita mohon JKM laporkan dan polis perlu menyiasat perkara ini,” kata Anfaal Saari ketika dihubungi.
Terdahulu, ketua polis daerah Kuala Langat berkata laporan diterima daripada seorang doktor memaklumkan bayi itu tidak sedarkan diri ketika dibawa pengasuh taska tersebut.
Menurut Supt Mohd Akmalrizal Radzi, bayi berkenaan tiba dalam keadaan pucat, bibir dan kaki kebiruan, tanpa nafas serta tiada tindakan balas pada anak mata.
Bayi tersebut dihantar ke Hospital Putrajaya dan disahkan meninggal dunia pada 5.05 petang, dengan kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2011.
Anfaal berkata isu keselamatan di taska sering menjadi perhatian pentadbiran negeri, termasuk mewujudkan jawatankuasa khas menyelaraskan garis panduan bagi memudahkan urusan pendaftaran.
“Di peringkat negeri telah bincang apa penambahbaikan daripada segi urusan pendaftaran taska. Selain itu, dengan kerjasama JKM, kita sentiasa memantau operasi semua taska,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu sebanyak 980 taska berdaftar dengan JKM setakat November tahun lalu, selain mengesan terdapat 135 taska beroperasi tanpa lesen.
Justeru, Anfaal meminta pengusaha tidak berdaftar memohon geran sehingga RM5,000 bagi membolehkan mereka beroperasi dengan sah, selain mendapat kelulusan bomba dan pihak berkuasa tempatan.
“Kita ambil serius perkara ini kerana dengan mendaftar, ia membantu petugas taska berdepan insiden kecemasan dan sebagainya. Ini perlu untuk jamin keselamatan anak-anak jagaan,” katanya.