SHAH ALAM, 7 JAN: Bangi Wonderland menawarkan pengurangan harga tiket ke taman tema air itu sebagai langkah menyokong Tahun Melawat Selangor (TMS 2025).
Pengurus besarnya Steven Chang berkata orang ramai boleh mendapatkan diskaun menerusi pembelian tiket secara dalam talian di laman sesawang mereka.
“Promosi dibuat untuk jualan dalam talian. Harganya lebih murah berbanding di kaunter. Belian dalam talian juga lebih cepat dan urusan pengunjung lebih mudah.
“Tahun lalu kita capai sasaran 350,000 pengunjung. Dengan program TMS2025, kita jangka jumlah pengunjung meningkat,” katanya kepada SelangorKini.
Sebagai langkah menarik lebih ramai pengunjung, beliau berkata taman tema itu bakal dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk keperluan warga emas.
Berikutan itu, pihaknya akan menutup taman berkenaan selama tiga bulan bermula pertengahan Februari ini hingga hujung Mei.
“Kembali dibuka Jun dengan pelbagai tarikan. Penambahbaikan dibuat untuk mudahkan pengunjung termasuk lebih banyak kerusi bagi kegunaan mereka.
“Dalam tempoh tutup ini, kita mahu selenggara semua permainan dan kolam demi menjaga keselamatan pengunjung,” katanya.
Disamber lalu, Dato’ Menteri Besar melancarkan portal digital kempen visitselangor2025.my dan maskot rasmi SPARK the Fireflies sempena penganjuran Festival dan Konsert TMS2025 di Setia City Park, Setia Alam.
TSM2025 yang menawar lebih 60 program sepanjang tahun depan dijangka menarik lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa dengan sasaran kutipan resit RM11.7 bilion.